Agong sokong 2 universiti Terengganu bergabung, kata Maszlee

Agong sokong 2 universiti Terengganu bergabung, kata Maszlee

Sultan Abdullah melihat penggabungan UMT dan UniSZA sebagai salah satu langkah melahirkan lebih banyak universiti bertaraf antarabangsa di negara ini.

Maszlee Malik (kanan) dan kakitangan KPM sewaktu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyokong penggabungan dua universiti di Terengganu.

Beliau berkata, Sultan Abdullah melihat penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai salah satu langkah melahirkan lebih banyak universiti bertaraf antarabangsa di negara ini.

“Penilaian kejayaan penggabungan adalah sehingga ia mampu menghasilkan graduan yang mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi dan setanding dengan universiti berprestij dunia,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kerajaan secara prinsip bersetuju penggabungan itu pada September, mengatakan langkah itu akan meningkatkan fungsi kedua-dua universiti terbabit sejajar dengan pelan pembangunan pendidikan tinggi. Laporan mengenai penggabungan itu akan lengkap dalam tempoh enam bulan.

Langkah itu menerima kritikan pelbagai pihak ketika ia dicadangkan, di mana bekes menteri pendidikan tinggi, Khaled Nordin berkata ia tidak profesional dan tidak diperlukan.

Maszlee juga menuduh kumpulan tertentu cuba menghalang penggabungan yang dicadangkan itu, mengatakan terdapat “elemen sabotaj”.

UniSZA ditubuhkan pada 2005. Ia adalah universiti pertama di negara ini yang dimodelkan selepas University of London, UK. Ia mempunyai empat kampus, termasuk satu di Kuala Lumpur.

UMT bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Marin Universiti Pertanian Malaysia sebelum dinaikkan taraf sebagai Kolej Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) pada 2001. Pada 2007, ia dijenamakan semula sebagai UMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.