Ucapan rasis: Polis akan panggil Salahuddin jika perlu

Ucapan rasis: Polis akan panggil Salahuddin jika perlu

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Ketua Polis Daerah Pontian, Mustafa Bakri pada sidang media di IPD Pontian.
PONTIAN:
Polis akan memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub untuk memberi keterangan jika perlu berhubung kenyataan rasis dan cauvinis ketika kempen di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Ketua Polis Daerah Pontian, Mustafa Bakri Salleh berkata buat masa ini polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan Salahuddin dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

“Masih dalam siasatan kita. Tengok pada keadaan nanti. Kalau kita perlu (panggil Salahuddin). Setakat ini masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Pontian.

Semalam Pemuda Umno mendakwa Salahuddin membuat kenyataan rasis dan cauvinis ketika berkempen di PRK Tanjung Piai.

Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut kelmarin, di mana klip video didakwa ucapan itu menunjukkan beliau berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Susulan itu, Pemuda BN Johor membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya menggesa timbalan presiden Amanah itu disiasat.

Mustafa berkata polis akan segera mempercepatkan siasatan terhadap kes itu.

Dalam perkembangan lain, Mustafa berkata sepanjang tempoh berkempen PRK Tanjung Piai, sebanyak 159 permit dikeluarkan oleh IPD Pontian.

Beliau berkata polis menerima lapan laporan tetapi hanya tiga daripadanya dibuka kertas siasatan.

“Selain kes Salahuddin, polis membuka dua lagi kes iaitu berhubung ‘billboard’ parti Gerakan yang dipasang di lokasi jalan Kukup hadapan MC Donald Pontian ditumbangkan.

“Kedua kejadian bendera parti PH dicabut serta dipatahkan di sekitar kawasan kampung Kebun Baru Permas,” katanya.

Mustafa berkata kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis Johor mengigatkan mana-mana individu atau kumpulan penyokong tidak melakukan kerosakan terhadap poster, banner dan kain rentang dengan mencabut atau membakar peralatan mana-mana parti politik.

“Ia merupakan satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang. Orang ramai juga dinasihatkan agar mengawal perasaan dan jangan terlalu beremosi dan jangan menimbulkan sebarang provokasi sehingga menimbulkan pergaduhan dan merujuk kepada polis sekiranya berlaku sebarang masalah.”

Berhubung laporan polis terhadap calon BN, Wee Jeck Seng yang didakwa terlibat dengan rasuah dalam projek Permit Masuk Kenderaan (VEP), katanya, kes itu diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Johor untuk siasatan lanjut.

“Kita rujuk kepada agensi terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.