Lembaga Disiplin Umno tak panggil saya, kata Hishammuddin

Lembaga Disiplin Umno tak panggil saya, kata Hishammuddin

Bekas naib presiden Umno itu berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan.

Hishammuddin Hussein (kanan) berkempen untuk calon MCA di Pontian hari ini. Turut hadir Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong (bertopi biru).
PONTIAN:
Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata beliau tidak menerima sebarang notis daripada Lembaga Disiplin parti itu berhubung dakwaan “pelanggaran disiplin”.

“Saya tiada apa-apa untuk disembunyikan.

“Saya bimbang ada individu tertentu cuba membangkitkan isu yang mungkin menjejaskan parti,” katanya ketika berkempen untuk calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Wee Jeck Seng, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bekas menteri pertahanan itu menemui Pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM, Dr Mahathir Mohamad pada Julai lalu dan menyifatkan pertemuan itu ialah perkara biasa.

Susulan itu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Mohamed Apandi Ali pada 1 Sept lalu dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat Hishammuddin, tetapi enggan mendedahkan butirannya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau “terkejut” penggantinya, Mohamad Sabu mahu mempertahankan kehiduapan nelayan di Tanjung Piai.

“Beliau tidak pun mempertahankan kebajikan anggota tentera dan tentera bersara dengan baik.

“Apatah lagi isu nelayan bukan di bawah portfolionya.”

Hishammuddin turut mengkritik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkempen di sebuah sekolah rendah pada Isnin lalu.

“Saya pernah menjadi menteri pendidikan dan saya tidak pernah berkempen di sekolah sebelum ini.”

Susulan itu, Pemuda Barisan Nasional Johor membuat laporan polis semalam meminta pihak berkuasa menyiasat Salahuddin berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman di sekolah itu.

Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut kelmarin, di mana klip video didakwa ucapan itu menunjukkan beliau berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika Barisan Nasional kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.