
Beliau berkata, angka itu menakutkan dan menggambarkan seolah-olah kes yang dilaporkan orang ramai tidak diambil tindakan.
“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Mohd Zakaria Ahmad telah mempengerusikan mesyuarat untuk mengkaji kes-kes yang terbengkalai itu berjumlah 55,000…sebenarnya kes-kes itu adalah dari 2005… termasuk juga 7,800 lebih fail kes siasatan berhubung penemuan wang palsu.
“Sejak Jun lepas, jumlah kertas (siasatan) terbengkalai ini dapat dikurangkan dengan begitu drastik sekali dan kini tinggal lebih kurang 29,000…lebih separuh kami selesaikan dan fail-fail itu telah diangkat ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.”
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Buku Manual Siasatan Jenayah Komersil dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah JSJK di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, hari ini.
Hamid berkata, langkah itu diharap dapat memberi keadilan kepada orang ramai yang menjadi mangsa dalam jenayah komersial.
Mengenai punca lambakan kes terbengkalai itu, beliau berkata, ia mungkin disebabkan pertukaran kerap di kalangan pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat yang mengendalikan kes.
“Selain itu, polis juga sedang meneliti jika terdapat unsur penyelewangan dan sifat cuai, malas dan agenda lain bagi tujuan melindungi kalangan pegawai penyiasat yang ditugaskan berhubung kes terbabit.
“Maklumlah ada kes-kes yang melibatkan orang kenamaan, ahli perniagaan besar…Insya Allah kami akan siasat satu persatu…tidak lama lagi akan ada tindakan yang diambil ke atas mereka yang sengaja tidak ambil tindakan untuk teruskan siasatan, gantungkan fail ini supaya satu hari ia dianggap fail lapuk dan boleh dibuang.”
Hamid memberi amaran setiap fail siasatan yang dibuka tidak boleh dianggap lapuk dan bukan senang dibuang begitu saja.
Mengenai buku yang dilancarkan hari ini, katanya, ia adalah panduan kepada pegawai penyiasat untuk meneruskan kes jenayah komersial.