
Katanya, kerja pembinaan terowong dan laluan bertingkat di sepanjang 223km jajaran ECRL antara Dungun, Terengganu dan Mentakab, Pahang juga giat dijalankan.
“Bagi proses pengambilan tanah pula, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menyambung semula proses pengambilan tanah bagi jajaran ECRL antara Dungun dan Mentakab di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah, yang mana sebahagiannya telah diwartakan sebelum ini.”
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini kepada soalan Idris Jusoh (BN-Besut) berhubung status terkini projek ECRL.
Loke berkata, MRL sebagai pemilik projek ECRL sudah mengemukakan Skim Keretapi ECRL pada Sept lalu bagi jajaran Kota Bharu ke Dungun kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selain itu, katanya, penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Warisan (HIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) juga sedang dilakukan.
Projek itu disambung semula selepas perjanjian tambahan MRL dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April lalu.
Ia menyaksikan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.