
Hakim, Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap K Ganesh, 42, selepas mendapati tertuduh bersalah dan setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Setelah membuat penilaian maksimum terhadap hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan,” katanya sambil memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara empat bulan, jika gagal membayar denda itu.
Beliau berkata, dalam kes itu, tertuduh adalah individu yang memasukkan kucing dan mengunci mesin pengering pakaian di sebuah dobi.
“Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menzalimi binatang.”
Lelaki itu bersama seorang lagi individu yang didakwa dengan kejam atau tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves, di sini antara 12.54 tengah malam hingga 1 pagi 11 Sept 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan mengikut akta tersebut adalah yang pertama di negara ini sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan tertuduh tersebar sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.
“Kes ini melibatkan seekor kucing spesies domestik dan kucing ini tidak memberi ancaman kepada tertuduh. Tertuduh langsung tidak menghormati nyawa dan tidak menganggap binatang juga ada hak untuk hidup.
“Kes ini telah didedahkan melalui rakaman dan ditonton masyarakat sehingga menjadi tular dan berasa marah dengan perbuatan tertuduh.”
Peguam, S Muthuveeran yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara dengan alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Beliau juga memohon penangguhan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah membenarkan permohonan itu dengan menaikkan jaminan daripada RM12,000 kepada RM20,000.
Pada 12 Sept lepas, mahkamah mengarahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan itu. Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan, iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan sejak 3 April lepas.
Pada 17 Jan lalu, rakan Ganesh yang juga pemandu teksi, A Mohanraj, 42, dihukum penjara dua tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan sama, manakala S Satthiya, 27, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Sebelum ini, tersebar satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam tiga individu membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum mereka ditahan polis kerana laporan dibuat Persatuan Haiwan Malaysia.