Gerakan masih relevan sebab itu saya bertanding, kata Wendy

Gerakan masih relevan sebab itu saya bertanding, kata Wendy

Ia di sebalik ramai pemerhati dan penganalisis politik menjangkakan tumpuan lebih kepada PH dan BN.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam ketika ditemui FMT di Bilik Gerakan di Pontian, Johor.
PONTIAN:
Calon Gerakan bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai menafikan partinya sudah tidak relevan, di sebalik ramai pemerhati dan penganalisis politik menjangkakan tumpuan lebih kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Wendy Subramaniam berkata disebabkan itu beliau mahu bertanding dalam PRK kali ini untuk membuktikan Gerakan masih relevan.

“Kita nak beritahu, dalam pertandingan ini jentera kita keluar kempen dan masih beroperasi.

“Kita masih ada pemimpin dalam Gerakan dan diberi latihan untuk menjadi pemimpin masa depan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama FMT.

Pada PRU14, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya.

Gerakan menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun tahun lalu. Pada 16 Sept tahun lalu, Mah Siew Keong mengumumkan secara rasmi peletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan.

Wendy bagaimanapun berkata Gerakan lebih bebas selepas keluar dari BN.

“Saya tak perlu tanya siapa-siapa untuk bertanding. Saya tak ada bebanan kerana dah keluar BN.

“Apa yang kami boleh tawarkan adalah bersifat benda baru dan berdasarkan perspektif rakyat.

“Kita mahu kumpulan pemimpin yang baru dan bukan terikat dengan polisi walaupun kami menjadi suara ketiga,” katanya.

Wendy, 38, dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah dan sudah berkahwin.

Beliau bekerja sebagai peguam dan mempunyai dua orang anak.

Beliau bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew High School dan memperoleh ijazah sarjana muda undang-undang di United Kingdom.

Wendy pernah bekerja sebagai kerani akaun di Syarikat Rodziah dan menjadi pegawai pelaksana di syarikat Rodziah.

Dalam Gerakan, beliau memegang jawatan sebagai timbalan setiausaha agung nasional dan naib ketua wanita nasional.

Ini pertama kali beliau bertanding dalam PRK.

Negara pelbagai kaum

Wendy berkata Gerakan masih parti pelbagai kaum dan budaya serta tidak bersetuju negara ditadbir berasaskan kaum dan agama.

“Ini satu sebab Gerakan bertanding. Kita mahu menyuarakan pandangan kita dan harap rakyat setuju dengan kita.

“Jika mereka setuju dengan kita, boleh beri undi pada kita,” katanya.

Setakat tiga hari berkempen, beliau berkata rata-rata pengundi ditemui mengatakan peluang Gerakan ialah 50-50.

Beliau juga bekerja keras turun berjumpa pengundi di Tanjung Piai untuk mengetahui isu tempatan.

“Mereka hargai kita turun padang dan mengenali mereka,” katanya.

Wendy juga melihat rata-rata pendapatan penduduk di Tanjung Piai kurang di mana mereka hanya memperoleh RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, termasuk kerja lebih masa.

“Anak muda agak susah, kalau nak kumpul duit kahwin pun susah. Ini cabaran untuk mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.