Stok minyak sawit susut bukti usaha tingkat eksport berjaya, kata menteri

Stok minyak sawit susut bukti usaha tingkat eksport berjaya, kata menteri

Kementerian Industri Utama sedaya upaya mengurangkan stok minyak sawit bagi menstabilkan harga dan meningkatkan pendapatan rantaian industri sawit.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.
KUALA LUMPUR:
Penyusutan stok minyak sawit Malaysia merupakan fenomena yang positif kerana ini membuktikan usaha kerajaan untuk meningkatkan eksport minyak sawit negara berjaya, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, eksport minyak sawit merekodkan peningkatan sebanyak 19.7 peratus kepada 12.6 juta tan metrik, berbanding tempoh yang sama pada 2018, iaitu pada 10.53 juta tan metrik.

“Ini akan menyumbang kepada kenaikan paras harga minyak sawit yang lebih baik,” katanya ketika menjawab soalan Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) berkenaan usaha kementerian dalam menangani penurunan stok minyak sawit Malaysia, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Stok minyak sawit sedang mengalami trend penurunan pada tahun ini iaitu daripada tiga juta tan pada Januari 2019 kepada 2.25 juta tan pada Ogos 2019, manakala paras stok minyak sawit semasa sebanyak 2.45 juta tan pada 10 Okt 2019 iaitu pada paras yang optimum.

“Selain itu, kerajaan ketika ini telah menggantung duti eksport minyak sawit mentah (MSM) sehingga Disember tahun ini demi mengatasi situasi stok minyak sawit yang tinggi.

“Kerajaan sememangnya berusaha untuk menurunkan paras stok minyak sawit negara ke satu paras yang optimum kerana penawaran minyak sawit pada awal tahun ini berada pada paras yang melebihi permintaannya iaitu tiga juta tan,” tambahnya.

Kementerian berusaha sedaya upaya mengurangkan stok minyak sawit bagi menstabilkan harganya dan meningkatkan pendapatan kepada keseluruhan rantaian industri sawit termasuk pekebun kecil.

“Kementerian industri utama akan sentiasa memantau situasi stok minyak sawit negara agar ia berada di paras yang optimum bagi menampung permintaan semasa pasaran tempatan,” katanya.

Sementara itu, mengenai boikot yang mungkin dilaksanakan India terhadap minyak sawit negara, kementerian akan sentiasa mengadakan perjumpaan dan rundingan selain meneruskan hubungan diplomatik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.