
Ziauddin, yang merupakan penulis pemenang anugerah dan dianggap sebagai salah seorang intelektual penting di United Kingdom berkata, beliau percaya kepimpinan Anwar akan membuka jalan kepada penyuburan wacana kritikal mengenai Islam.
“Banyak isu etika dan moral yang diketepikan akan tampil ke depan secara lebih terbuka, dibincangkan dan diselidiki,” katanya.
“Barangkali kita boleh mencapai satu bentuk kata sepakat mengenainya.
“Justeru, dari segi intelek dan etika, Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang lebih sihat.”
FMT menemu bual Ziauddin di lokasi Persidangan Digital Futures yang turut dihadiri oleh Anwar.
Beliau merupakan penasihat presiden PKR itu sewaktu beliau merupakan timbalan perdana menteri sebelum ini.
Ziauddin menyifatkan Islam sebagai agama yang meliputi kepelbagaian pandangan dan perspektif.
“Ia terbuka dan plural,” katanya. “Tidak ada pihak yang mempunyai hak untuk berkata kepada orang lain bahawa beliau seorang Muslim yang baik atau tidak, atau sekiranya imannya lemah kerana perkara ini semuanya milik Tuhan. Hanya Tuhan tahu iman seseorang.”
Baru-baru ini, sarjana Turki yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Mustafa Akyol mengkritik kerajaan Malaysia kerana keengganannya untuk menghapuskan sekatan ke atas penceramah asing daripada menyampaikan ucapan mengenai Islam.
Ziauddin berkata, Islam boleh dilihat sebagai “agak menekan” sekiranya debat, perbincangan, analisis, kritikan dan kritikan balas yang terbuka tidak dibenarkan.
Beliau berkata, keadaan sedemikian boleh menjadi penghalang terhadap pertumbuhan sebuah masyarakat yang “Muslim bukan sahaja dari sudut kepercayaan agama, tetapi juga Muslim dari segi etika dan moral”.
Ziauddin menyuarakan keyakinan bahawa lambat laun Anwar akan menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Petunjuknya jelas,” kata beliau. “Saya percaya Mahathir individu yang berintegriti. Beliau akan tunaikan janjinya.”
Beliau juga percaya hukuman penjara yang dilalui Anwar antara 1999 dan 2004 serta antara 2015 dan 2018 telah meningkatkan sifat kasih sayangnya.
“Agak menakjubkan bahawa seseorang yang banyak menderita sedemikian boleh bersikap begitu pemaaf, malah begitu menyayangi. Saya fikir ia menggambarkan peribadi beliau dengan begitu jelas.”
Berhubung fikiran Anwar, Ziauddin berkata: “Ia tajam seperti dahulu. Beliau sentiasa bertanyakan soalan-soalan penting.
“Malah kebolehan ini semakin terserlah hari ini berbanding sebelum ini. Saya fikir sekarang beliau jauh lebih bijaksana dan individu lebih baik, sekali gus seorang ahli politik yang lebih matang dan juga lebih baik.”