Ringgit di paras tertinggi dalam 3 bulan

Ringgit di paras tertinggi dalam 3 bulan

Ia susulan rundingan perdagangan baik antara AS dan China serta sentimen risiko global positif suuslan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS.

Ringgit naik 0.46% kepada 4.1560/1590 berbanding dolar AS daripada 4.1640/1670 semasa ditutup pada Jumaat lalu.
KUALA LUMPUR:
Ringgit meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan berbanding dolar AS berikutan rundingan perdagangan baik antara Amerika Syarikat dan China serta sentimen risiko global yang positif selepas penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS.

Ringgit naik 0.46% kepada 4.1560/1590 berbanding dolar AS daripada 4.1640/1670 semasa ditutup pada Jumaat lalu – paras tertinggi sejak 2 Ogos lalu.

Ahli Strategi Pasaran Axi Trader Asia Pasifik, Stephen Innes berkata ringgit turut menjejaki yuan China yang kukuh, selepas Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross mencadangkan lesen yang membolehkan syarikat AS menjual kepada Huawei “akan tiba tidak lama lagi”.

“Yuan menguji di bawah paras 7.03 pada minggu ini dan dijangka berada pada paras 7 dalam masa terdekat yang akan menetapkan ujian positif pada paras 4.15 untuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia dijangka memutuskan untuk mengekalkan kadarnya yang dijangka positif kepada ringgit.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari terakhir bagi tahun ini akan diadakan esok dengan ramai ahli ekonomi percaya bank pusat itu akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0617/0651 daripada 3.0649/0683 pada Jumaat dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.8396/8431 daripada 3.8538/8569.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.3750/3793 daripada 5.3915/3963 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6381/6431 daripada 4.6420/6470.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.