Ramasamy nafi persoal Kementerian Sumber Manusia berhubung MTUC

Ramasamy nafi persoal Kementerian Sumber Manusia berhubung MTUC

Menurut Ramasamy beliau hanya menyentuh tentang peranan MTUC dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP P Ramasamy hari ini menafikan beliau mempersoalkan sama ada Kementerian Sumber Manusia mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkenaan hal ehwal pekerja atau setakat manakah pindaan terbaru ke atas Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) memberi manfaat kepada golongan pekerka di negara ini.

Dalam satu kenyataan Ramasamy berkata, beliau hanya menyentuh tentang peranan MTUC dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

“Walaupun NLAC merupakan mekanisme tiga pihak antara kerajaan, pekerja dan majikan, persoalannya ialah sama ada pekerja atau wakil mereka, iaitu MTUC sekarang, berkemampuan dari segi strukturnya untuk menghentikan pindaan yang tidak berpihak kepada pekerja.

“Bagi saya ini adalah satu persoalan, bukannya bilangan mesyuarat NLAC (yang diadakan), sama ada umum atau teknikal, pembaikan yang dicatatkan dalam pindaan itu atau pendapat orang lain mengenainya.”

Pada Jumaat, Ramasamy, yang merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, walaupun MTUC mahu terlibat dengan pemegang taruh “dengan cara yang adil dan saksama”, NLAC kelihatan seperti satu platform yang tidak sesuai.

“Dengan mengehadkan peranan MTUC kepada perundingan semata-mata, NLAC berkecederungan untuk memajukan perundangan yang berkemungkinan tidak menguntungkan pekerja.

“MTUC berdepan kesukaran dalam memainkan peranan bermakna dalam NLAC. Tidak wujud kejujuran dalam isu berkaitan pekerja. Rundingan tidak memberi apa-apa erti dalam usaha memajukan hak pekerja,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia kemudiannya mengeluarkan respons balas dengan berkata, ia tidak pernah mengetepikan MTUC dalam urusan pekerja.

Katanya, 10 mesyuarat NLAC telah diadakan tahun ini sahaja bagi membincangkan isu pekerja dan perhubungan perusahaan, selain beberapa mesyuarat jawatankuasa teknikal yang diadakan sebagai sebahagian daripada rundingan berkenaan pindaan IRA, yang turut dikenali sebagai Akta 177.

Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy berkata, beliau hanya menyebut bahawa kerangka tiga pihak itu tidak kondusif kepada pekerja atau pandangan wakil mereka berhubung perkara berkaitan.

“Kritikan saya tidak ditujukan terhadap kementerian atau pegawainya, tetapi lebih merupakan teguran kepada kerajaan supaya memeriksa NLAC dengan tujuan membaikinya.”

Beliau berkata, masalah utamanya bukanlah bilangan mesyuarat yang diadakan atau pembaikan relatif dalam pindaan IRA, tetapi setakat mana pekerja bebas dan tidak dihadkan oleh mekanisme perundangan dan politik di negara ini.

“Berdasarkan sokongan yang diberikan oleh MTUC kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 2018, tentulah tidak keterlaluan untuk meminta supaya mereka dilayani sebagai kawan, bukan musuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.