PH musuh Umno, bukan MCA, kata Khaled Nordin

PH musuh Umno, bukan MCA, kata Khaled Nordin

Menurut Khaled, matlamat BN ialah menumbangkan PH tanpa mengira individu yang dicalonkan oleh gabungan itu dalam pilihan raya pada 16 Nov depan.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berucap pada satu majlis ceramah di Pekan Nenas, Pontian malam tadi.
PONTIAN:
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai merupakan pertandingan banyak penjuru, namun persaingan sebenarnya ialah antara kerajaan dengan gabungan terbesar pembangkang.

“Ia merupakan pertandingan banyak penjuru, tetapi tumpuannya ialah antara kerajaan dengan gabungan terbesar pembangkang,” katanya dalam satu ceramah di Pekan Nenas di sini, malam tadi.

Beliau berkata, matlamat Barisan Nasional (BN) ialah untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) tanpa mengira siapakah calon yang dikemukakan oleh gabungan itu dalam pilihan raya pada 16 Nov depan.

“Kita mesti ingat musuh (Umno) bukan MCA, tetapi PH,” katanya.

“(Kita) jangan lupa, BN terdiri daripada pelbagai parti, (selepas pilihan raya umum) ramai tinggalkan kita, tapi MCA masih setia sebagai parti komponen.”

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon MCA-BN Wee Jeck Seng, yang pernah mewakili kawasan Parlimen ini selama dua penggal sebelum tewas pada pilihan raya umum 9 Mei tahu lepas; calon PPBM-PH Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock.

Khaled juga berkata, sebagai gabungan pembangkang BN kini tidak lagi menikmati kelebihan untuk menganjurkan ceramah dalam dewan berhawa dingin seperti ketika ia menjadi kerajaan persekutuan sebelum ini.

Ceramah malam tadi diadakan di bawah sebuah kanopi di tanah lapang yang tidak dibangunkan di celah deretan kedai di Jalan Sawah di sini.

“Hari ini ramai hadir (walaupun) BN bukan lagi kerajaan, dalam keadaan kita nak cari tapak ceramah pun susah,” katanya.

Lebih 70 orang, yang majoritinya penyokong BN, menghadiri ceramah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.