
Ia diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof selepas diputuskan menerusi undian suara.
“Kerajaan ingin teruskan usaha supaya Malaysia bukan sahaja sebuah negara yang makmur, malah aman dan tenteram dengan hak rakyat akan dihormati, tidak dipecah-belahkan oleh sentimen-sentimen perkauman atau ekstremisme oleh pihak tertentu.
“Kita kena ingat, Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia, tiada perbezaan dan tiada diskriminasi…dengan kita bersatu padu, barulah kita boleh mencapai kemakmuran bersama,” katanya semasa mengakhiri sesi penggulungan di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu persidangan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengunjurkan untuk mengurangkan kadar hutang negara sehingga 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2023.
“(Bagi) Unjuran hutang langsung negara pada 2023, kita akan cuba kurangkan sebanyak yang boleh daripada kadar 77% (pada masa) kini…jika kita boleh capai sehingga tahap itu, ia adalah sesuatu yang positif.
“Paling penting, walaupun kerajaan telah membuat pendedahan terbuka sehingga ke peringkat antarabangsa mengenai hutang langsung negara, penarafan kredit bagi Malaysia masih dikekalkan, ia sesuatu yang baik,” katanya.
Beliau berkata ini susulan pihak penarafan kredit memahami serta yakin bahawa kerajaan sangat komited dalam melaksanakan pembaharuan institusi supaya ketelusan dapat dipertingkatkan selain menangani pelbagai isu seperti melibatkan 1MDB.
Lim berkata demikian ketika menjawab celahan Najib Razak (BN-Pekan) berkaitan unjuran hutang negara sehingga akhir penggal tempoh pentadbiran PH iaitu 2023.