Rangkul 3 kejuaraan musim hebat bagi JDT, kata ketua jurulatih

Rangkul 3 kejuaraan musim hebat bagi JDT, kata ketua jurulatih

JDT merangkul Piala Malaysia untuk kali kedua selepas 2017 setelah membenam Kedah 3-0, di samping menambah trofi juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut serta Piala Sumbangsih.

Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora meraikan jaringan gol kedua Muhammad Safawi Rasid pada final Piala Malaysia, semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap tahun ini sebagai musim yang hebat selepas skuad Harimau Selatan menamatkan musim dengan tiga kejuaraan termasuk piala berprestij, Piala Malaysia, malam tadi.

JDT merangkul Piala Malaysia untuk kali kedua selepas 2017 setelah membenam Kedah 3-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, di samping menambah trofi juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut serta Piala Sumbangsih.

Beliau berkata kemenangan itu adalah atas sokongan tidak berbelah bahagi oleh pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta memuji barisan kejurulatihan dan pemain atas usaha gigih meraka sepanjang musim ini.

“Saya berasa bangga menjadi sebahagian daripada projek JDT kerana dapat membimbing sekumpulan pemain yang hebat untuk meraih banyak kejayaan seperti menjuarai Piala Malaysia,” katanya pada seidang media selepas perlawanan final itu.

Mora berkata kehadiran penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad pada awal perlawanan telah memberi kesan kepada pasukannya selepas penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo gagal menyinar setelah masih belum cergas sepenuhnya.

Jurulatih kelahiran Mexico berusia 40 tahun itu juga menafikan dakwaan peminat bahawa perlawanan itu berat sebelah memandangkan Kedah turun tanpa tiga tonggak utamanya.

Kedah kehilangan penyerang import Brazil, Fernando Rodriguez kerana mengalami kecederaan pada saat akhir manakala pemain pertahanan dari Brazil, Renan Alves dan Mohd Rizal Ghazali digantung selepas mereka mengutip dua kad kuning pada aksi suku akhir dan separuh akhir.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap ketidaan tiga tonggak itu telah menjejaskan rentak pasukan itu.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 42 tahun dari Singapura itu memuji anak buahnya kerana menampilkan aksi yang mantap dan tidak menjadi pasukan belasahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.