JDT kecewa kesilapan teknikal FAM

JDT kecewa kesilapan teknikal FAM

Kelab itu berkata kesilapan itu menyebabkan tiga pemainnya yang menyarung jersi Harimau Malaya digantung.

Pemain JDT, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel antara tujuh tonggak Harimau Malaya digantung oleh Fifa selama 12 bulan. (Gambar JDT)
PETALING JAYA:
Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa dengan kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menyebabkan penggantungan tiga pemainnya yang menyarung jersi Harimau Malaya.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan pemain terbabit dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Luis Garcia.

Kelmarin, FAM telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran badan induk sukan itu.

Setiausaha Agungnya Noor Azman Rahman berkata pihaknya memandang serius perkara itu sambil menegaskan pemain terlibat ialah rakyat Malaysia yang sah.

Minggu lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengumumkan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) kepada FAM kerana melanggar Artikel 22, yang berkaitan pemalsuan dokumen.

Sementara itu, tujuh pemain didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang dan digantung selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Figueiredo, Irazabal dan Hevel bermain dengan skuad Harimau Selatan yang kini menduduki tangga teratas dalam Liga Super.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.