Malaysia hadapi sekatan, tidak boleh lagi berdagang dengan Iran, kata Mahathir

Malaysia hadapi sekatan, tidak boleh lagi berdagang dengan Iran, kata Mahathir

Mahathir berkata, Malaysia menghadapi tekanan kuat daripada pihak tertentu supaya menutup akaun bank individu dan syarikat milik Iran di negara ini.

Perdana Menerti Dr Mahathir Mohamad pada satu sidang media sempena Sidang Kemucak Asean ke-15 di Bangkok hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, Malaysia kini disekat dan tidak lagi boleh berdagang dengan negara Iran, yang merupakan salah satu rakan dagang terbesar negara.

“Apabila mengenakan sekatan, yang merupakan tindakan yang melanggar undang-undang, tidak ada peruntukan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan sesebuah negara yang tidak berpuas hati dengan sesebuah negara boleh melaksanakan sekatan terhadap negara itu.

“Bahkan ia turut melibatkan negara lain yang ingin berdagang dengan negara itu. Sekatan itu tidak terpakai kepada satu negara sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak Asean ke-35 di Bangkok, hari ini.

Reuters melaporkan bank milik Malaysia di luar negara menutup akaun individu dan syarikat milik Iran dipercayai berikutan sekatan yang dikenakan oleh Washington.

Mahathir bagaimanapun tidak menamakan mana-mana negara, tetapi mengkritik kepada negara yang “terlalu banyak bercakap” mengenai pemerintahan mengikut undang-undang, perdagangan berasaskan undang-undang mengenai perdagangan, tetapi tidak mengamalkan prinsipnya sendiri.

Pada masa sama Mahathir berkata, negara China sendiri sudah menyatakan hasrat untuk menamatkan perang perdagangan yang sedang berlaku kini, tetapi Amerika Syarikat masih lagi mahu ia diteruskan.

Katanya, sehingga kini beliau tidak boleh menjangkakan bilakah perang perdagangan AS-China akan berakhir, tetapi percaya ia akan berakhir hanya apabila tempoh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tamat.

“Jika dia (Trump) dipilih sekali lagi, akan ada perang perdagangan lagi. Tetapi saya rasakan secara umumnya, ia bukanlahh apa yang diperlukan rakyat Amerika Syarikat. Saya harap ia akan diselesaikan,” katanya.

Katanya, ketika Sidang Kemuncak Asean yang sedang berjalan itu, beliau diberitahu oleh pemimpin dari negara lain bahawa sekatan yang sedang berlaku akan menganggu pertumbuhan perdagangan dan ekonomi sesebuah negara.

“Ya, mereka semua rasakan ia menganggu pertumbuhan perdagangan dan ekonomi. Mereka mahukan dunia yang aman yang membolehkan mereka berdagang dengan negara lain. Satu perkara yang tidak disebutkan ialah sekatan melanggar undang-undang,” katanya.

Mengulas mengenai pertikaian wilayah di Laut China Selatan, Mahathir berkata, China juga mahukan keadaan yang aman, namun terdapat provokasi yang dilakukan oleh negara yang bermusuh dengan China.

“Masalah kita bukan negara Asean, tetapi negara lain dari tempat lain mungkin akan buat provokasi dan cuba dapatkan sokongan Asean kerana mereka bermusuh dengan China. Mereka hendak Asean juga bermusuh dengan China.

“Kalau jadi perang atau keganasan, yang akan menjadi mangsa adalah negara Asean dan China. Ia tidak berlaku di negara lain,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.