Calon PRK Tg Piai santuni pengunjung pasar pagi Pekan Nenas

Calon PRK Tg Piai santuni pengunjung pasar pagi Pekan Nenas

Calon BN Wee Jeck Seng dan calon Gerakan Wendy Subramaniam turun seawal jam 7 pagi, manakala calon PPBM Karmaine Sardini tiba pada jam 10 pagi.

Wee Jeck Seng (kiri) mengedarkan risalah kepada pengunjung pasar pagi Pekan Nenas.
PONTIAN:
Calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai memulakan kempen hari kedua mereka untuk menambat hati pengundi dengan menyantuni mereka di pasar pagi Pekan Nenas, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng dan calon Gerakan, Wendy Subramaniam turun seawal jam 7 pagi namun bergerak secara berasingan bersama jentera masing-masing.

Manakala, calon PPBM, Karmaine Sardini tiba agak lewat pada jam 10 pagi daripada waktu asal 7.30 pagi.

Calon BN dan PH mengambil masa 2 jam untuk berkempen di pasar pagi itu sambil mengedarkan risalah mereka serta biadota calon.

Wee berkata Pekan Nenas adalah kampungnya dan mempunyai hubungan akrab dengan penduduk di sana.

“Saya anak tempatan yang selalu menjalankan aktiviti di sini. Hubungan macam sedara-mara dan kawan.

Wendy Subramaniam bersama salah seorang peniaga di Pekan Nenas.

“Ini peluang untuk saya dapatkan sokongan dan jika dapat, saya boleh kembali jadi ahli Parlimen. Saya harap pengundi boleh beri sokongan,” katanya.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertarungan enam penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas bagi merebut kerusi Parlimen itu.

Mereka yang bertanding ialah Wee, Karmaine, Wendy, Badhrulhisham Abdul Aziz, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Sementara itu, Wendy berkata setiap calon ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Beliau berkata kelebihannya adalah calon muda dan jika menang, beliau mempunyai idea baru untuk dibawa ke Parlimen.

“Kalau saya menang, BN dan PH akan kerja kuat. Mereka takkan kerjasama dengan saya untuk dapatkan undi,” katanya.

Wendy juga berjanji jika menang, beliau akan membuat pusat khidmat di Pekan Nenas dan di Pontian Kecil.

Beliau juga mengakui jentera Gerakan kecil dan tidak banyak peruntukan tetapi tetap akan bersaing dengan PH, BN dan calon lain.

Karmaine Sardini melayani pertanyaan media di pasar pagi.

“Memang dia (parti lawan) banyak duit, beri peruntukan kewangan. Gerakan kurang. Tetapi peluang tetap 50-50.

“Kami takkan tahu sehingga masuk hari mengundi. Tetapi akan jalan ke kampung-kampung Melayu,” katanya.

Manakala calon PH, Karmaine berkata beliau akan bertemu dengan semua pengundi di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, beliau tidak memilih kawasan dan penduduk menerima baik kehadirannya di Tanjung Piai.

“Masing-masing nak saya datang ke kawasan mereka,” katanya.

Karmaine berkata berdasarkan tinjauan bersama rakyat, mereka mahu infrastruktur dibaiki seperti betulkan jalan yang rosak, sambil berkata: “Akan ditangani secara berperingkat-peringkat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.