
Isu pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan diri peminjam itu sendiri serta bakal-bakal peminjam yang lain. Isu pinjaman pendidikan sentiasa mendapat tempat dalam negara kita berbanding dengan jenis-enis pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, pinjaman perniagaan, pinjaman kenderaan pinjaman peribadi atau persendirian dan lain-lain lagi kerana ramai di antara rakyat kita, khususnya di kalangan generasi muda yang mempunyai pinjaman pendidikan bagi membantu proses pembelajaran mereka ke peringkat pengajian tinggi.
Isu yang membabitkan pinjaman pendidikan juga sentiasa menjadi isu hangat kerana terdapat ramai peminjam golongan muda yang didapati liat, lewat dan gagal untuk melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing mengikut tempoh yang telah ditetapkan selepas tamatnya proses pengajian mereka.
Pelbagai alasan diberikan oleh pihak peminjam yang belum lagi melunaskan pinjaman pendidikan mereka. Antara alasan paling popular ialah belum mendapat pekerjaan lagi, jumlah pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk membayar hutang, kos sara hidup masa kini yang meningkat dan pelbagai lagi.
Terdapat pelbagai jenis pinjaman pendidikan yang wujud dalam negara kita seperti Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pinjaman dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia atau Majlis Amanah Rakyat, pinjaman daripada yayasan-yayasan negeri, pinjaman daripada kerajaan-kerajaan negeri, pinjaman daripada institusi atau organisasi tertentu serta pinjaman persendirian daripada individu.
Namun antara jenis pinjaman pendidikan paling popular adalah PTPTN di mana lebih 2.8 juta rakyat Malaysia yang telah mendapat manfaat dan bantuan menerusi penubuhan PTPTN sejak 20 tahun yang lalu sehingga kini.
PTPTN adalah satu daripada inisiatif Kementerian Pendidikan melalui dasar pendemokrasian proses pendidikan negara. Pinjaman pendidikan PTPTN membuka seluas-luasnya peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sama ada ke universiti awam, politeknik dan Institusi Pendidikan Swasta (IPTS).
Walau apa pun jenis pendidikan yang ditawarkan isu yang membabitkan pinjaman pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan atau kempen politik oleh mana-mana pihak kerana pihak yang terlibat dengan pemberian pinjaman berkenaan telah bertukus-lumus memastikan para peminjam dapat melunaskan kembali segala pinjaman yang telah mereka buat dengan cara yang penuh tertib, hikmah serta mengikut budi bicara semua pihak yang terlibat.
Sudah terdapat pelbagai konsesi serta proses pemudah cara bagi proses melunaskan kembali segala bentuk pinjaman pendidikan bagi memberi kemudahan kepada para peminjam untuk melunaskan kembali pinjaman pendidikan mereka.
Seperti yang dinyatakan, kebanyakkan mereka yang meminjam terdiri daripada generasi muda yang bakal menempuhi alam pekerjaan dan rumah tangga. Sekiranya terlalu banyak janji manis politik yang diberikan khusus mengenai perkara ini seolah-olah ia memberi satu isyarat kepada peminjam bahawasanya tidak salah bagi mereka untuk terus berlengah-lengah, menangguhkan serta untuk tidak terus membayar balik segala pinjaman pendidikan yang telah mereka buat.
Akhirnya ia akan mengakibatkan mereka menjadi individu tidak bertanggungjawab serta individu sambil lewa, terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan di masa hadapan kelak.
Tidak salah sekiranya kita lantang bersuara untuk membantu para peminjam pendidikan melunaskan segala hutang mereka dengan memudahkan proses pembayaran balik pinjaman. Namun satu perkara pokok yang paling penting dalam perkara ini ialah setiap daripada mereka perlu diberitahu dengan tegas bahawa setiap hutang perlu dibayar balik mengikut perjanjian yang telah dibuat serta tanpa berlengah-lengah.
Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Orang muda khususnya harus dididik dari awal supaya mereka lebih berdisiplin untuk melunaskan segala tanggungjawab mereka.
Sekiranya mereka berjaya dilatih dari peringkat awal untuk menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab khusus dalam aspek pengurusan kewangan dan di dalam aspek pembayaran hutang, sudah pasti mereka dapat menempuhi segala dugaan dan cabaran yang bakal datang di dalam kehidupan mereka kelak.
Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT