
SPRM berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis.
“SPRM menasihati semua calon dan parti politik mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya, selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
SPRM berkata, bilik gerakan yang akan beroperasi selama 24 jam sehari itu ditempatkan di Kompleks Pejabat SPRM Johor, Tampoi.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau aduan menerusi e-mel dan hantar ke [email protected] atau menghubungi talian 07-231 6000/07-231 6170 atau 019-654 4680 atau faks 07-235 6982,” katanya.
PRK Tanjung Piai menyaksikan pertarungan enam penjuru bagi selepas calon dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua bebas mengesahkan pencalonan mereka.
Mereka yang bertanding ialah Wee Jeck Seng, Karmainie Sardini, Wendy Subramaniam, Badhrulhisham Abdul Aziz, Ang Uan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.
Kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 15 November 2019.
Hari mengundi awal ditetapkan pada 12 November sementara hari mengundi ditetapkan pada 16 November.
Daftar pemilih mengandungi 52,986 orang pengundi yang terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.
Seramai 57% pengundi di Tanjung Piai adalah Melayu, diikuti Cina (42%), dan India (1%). Kerusi Tanjung Piai kosong berikutan kematian Farid pada 21 Sept lalu.