
Ketua Pesuruhjaya , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata ada antara mereka menghantar surat representasi mengatakan ingin membayar, tetapi tidak dapat mampu bayar jumlah yang dituntut dalam kompaun tersebut.
“(Mereka) sama ada meminta pengecualian, penyelesaian, cara pembayaran ataupun mereka bersedia untuk bekerjasama untuk memberitahu kami, siapa sebenarnya yang menggunakan wang tersebut.
“Kami gembira untuk mendapat maklumat supaya kami boleh meneruskan siasatan,” kata beliau, lapor Bernama.
Latheefa berkata, ada juga yang sedia untuk membayar, tetapi mereka bukan penerima terakhir.
“Jadi jika mereka bersedia beri kita kerjasama untuk memaklumkan siapa yang menerima akhirnya duit tersebut secara salah, jadi kami akan pergi kepada orang tersebut,” katanya.
Latheefa berkata, ada sebilangan mereka telah membuat laporan polis dan kini SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya menyiasat perkara itu lebih lanjut.
Mengenai isu penyeludupan rentas sempadan, Latheefa berkata siasatan masih diteruskan dan ia bergantung kepada kerjasama pihak polis dan kastam.
“Ia satu operasi yang berterusan dan polis telah membuat tangkapan dan pertukaran.
“Kami harap lebih ramai orang akan tampil untuk bantu siasatan dalam mencegah bolos sempadan,” kata beliau.