IDE: 17% belum buat keputusan, saingan Tg Piai antara BN dan PH

IDE: 17% belum buat keputusan, saingan Tg Piai antara BN dan PH

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Mohammad Redzuan Othman berkata pilihan raya kecil Tanjung Piai adalah antara PH dan BN sahaja.

Timbalan Pengerusi IDE, Mohammad Redzuan Othman berkata 17% pengundi masih belum membuat keputusan tentang calon pilihan mereka. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai disifatkan sebagai ‘medan penentuan’ kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan pihak mana yang lebih mampu meraih sokongan pengundi atas pagar.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Mohammad Redzuan Othman berkata ini kerana 17% pengundi didapati masih belum membuat keputusan untuk memilih calon daripada mana-mana parti yang bertanding.

Beliau berkata pendapat itu dirumuskan daripada hasil Kajian Survei Lapangan IDE yang dijalankan ke atas 1,518 responden bermula 18 Okt hingga 20 Okt lepas.

Mengulas lanjut katanya, melalui kajian berkenaan juga, 83% pengundi telah membuat keputusan untuk memilih parti yang sama seperti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Oleh itu, sejumlah 17% pengundi yang belum membuat keputusan (untuk memilih parti mana) adalah golongan untuk didekati oleh kedua-dua parti bertanding bagi menentukan kemenangan mereka pada PRK berkenaan,” katanya dalam sidang media PRK P165 Tanjung Piai: Satu Analisis di sini.

Tambah Mohammad Redzuan, walaupun wujud anggapan bahawa jalinan kerjasama antara Umno dan PAS mampu membuka ‘laluan’ kepada mereka memenangi PRK berkenaan, namun ia disifatkan sebagai kurang tepat.

Ini kerana katanya, kajian itu menunjukkan sokongan pengundi terhadap kedua-dua parti yang bertanding agak seimbang, maka PRK berkenaan dilihat lebih terbuka.

“Kajian juga mendapati, 33% pengundi mengatakan terdapat antara seorang hingga dua orang ahli keluarga yang juga pengundi tidak tinggal di kawasan parlimen berkenaan.

“Oleh itu, mana-mana parti yang mampu mencari jalan bagaimana untuk membawa pengundi yang tinggal di luar kawasan ke peti undi pada 16 Nov ini akan meraih kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai calon dari kedua-dua parti yang bertanding pada PRK berkenaan, Mohammad Redzuan menyifatkan keputusan PPBM meletakkan calon Melayu pastinya akan lebih diterima berbanding BN yang mencagarkan calon dari MCA.

“Ini kerana pengundi Melayu di Tanjung Piai membentuk 57% daripada jumlah keseluruhan 57,986 pengundi. Sungguhpun begitu, saya melihat jentera Bersatu lebih bersedia berbanding ketika PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih pada Mac lepas,” katanya.

Justeru, jentera PH disaran supaya melihat aspek peratusan kaum dengan lebih teliti bagi memanfaatkan peluang untuk menarik lebih banyak pengundi Melayu memilih mereka kelak.

Mengulas mengenai tindakan Gerakan dan Putra yang turut meletakkan calon pada PRK berkenaan, Mohammad Redzuan berpendapat ia tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap sokongan pengundi kepada PH dan BN sebaliknya menyifatkan,

“PRK Tanjung Piai adalah antara PH dan BN sahaja”.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas.

Pilihan raya kecil ini diadakan pada 16 Nov ini, manakala tarikh penamaan calon PRK pada esok dan pengundian awal diadakan pada 12 Nov.

Pada PRU14, Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu mewakili PH dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon BN, r Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.