Pencalonan Wee di Tg Piai langkah bukti BN ‘masih hidup’, kata penganalisis

Pencalonan Wee di Tg Piai langkah bukti BN ‘masih hidup’, kata penganalisis

Umno mahu menunjukkan bahawa agenda politiknya melampaui agenda memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

BN menamakan pemimpin MCA Wee Jeck Seng sebagai calon gabungan pembangkang bagi PRK Tanjung Piai 16 Nov depan.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik menjangkakan Barisan Nasional (BN) mahu menggunakan pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa gabungan itu, sebagai satu kumpulan parti politik mewakili kaum yang berbeza, masih hidup walaupun selepas termeterainya kerjasama rasmi antara Umno dengan PAS.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, keputusan BN meletakkan pemimpin MCA Wee Jeck Seng sebagai calon menampakkan usaha itu dengan jelas.

Bercakap kepada FMT, mereka percaya Umno mahu menunjukkan bahawa agenda politiknya melampaui agenda memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Bagaimanapun menurut pemerhatian mereka, strategi itu kelihatan merugikan BN dengan merujuk tindakan ahli Umno, terutama dalam kalangan akar umbinya, memboikot majlis pengumuman Wee sebagai calon dengan kira-kira 90 peratus kehadiran merupakan ahli MCA.

Tindakan boikot merupakan tanda pertama perpecahan gabungan tersebut disebabkan pemilihan calon, kata mereka.

“Keadaan itu tidak baik untuk pembangkang kerana umum menjangka seorang pemimpin Umno akan dipilih sebagai calon,” kata Azmi.

“Saya fikir salah satu sebab kenapa majlis pengumuman itu tidak terlalu ditonjolkan ialah bagi menyembunyikan boikot tersebut.”

Umno Bahagian Tanjung Piai sebelum ini mencalonkan ketuanya, Jefridin Atan untuk kerusi Parlimen itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik yang mewakili PPBM.

PAS mengisytiharkan sokongan kepada Wee, dengan setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan berkata, pimpinan kanan parti itu akan hadir pada hari penamaan calon esok sebagai tanda sokongan.

Azmi meramalkan BN akan menang dengan majoriti lebih besar daripada yang diperolehi calon PPBM dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Beliau berkata, sokongan pengundi Melayu kepada gabungan politik pembangkang itu di Tanjung Piai semakin mengukuh.

Dalam pada itu, James Chin mengakui sokongan komuniti Cina kepada PH merosot kebelakangan ini, tetapi tidak menjangka gabungan kerajaan itu akan kalah di Tanjung Piai.

Beliau menjangka kedua-dua pihak akan menggunakan taktik menakut-nakutkan pengundi.

“Saya fikir, mesej paling asasi ialah rasa takut,” katanya.

“Umno akan bergantung pada perasaan takut bahawa DAP menguasai agenda PH. Mereka akan mengetengahkan dakwaan marginalisasi orang Melayu di bawah pentadbiran PH kerana DAP menguasai keadaan.

“Sementara itu, DAP pula akan berkata, jika anda undi MCA, maka anda mengundi Umno-PAS dan ekstremisme.”

Beliau berkata, DAP perlu berdepan dengan isu seperti sikap berdolak-dalik kerajaan berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Persendirian Cina (UEC) dan pengenalan tulisan khat dalam kurikulum sekolah.

PH menamakan ketua PPBM Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon, sementara Gerakan mencalonkan penolong setiausaha agung parti itu, Wendy Subramaniam.

Kira-kira 57 peratus daripada 53,528 pengundi pendaftar di kawasan Parlimen Tanjung Piai merupakan pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan 1 peratus India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.