
Dalam surat edaran yang dihantar kepada kesemua pekerjanya petang ini, Bahagian Sumber Manusia kumpulan itu dilaporkan berkata, meskipun pelbagai langkah telah diambil sebelum ini, tetapi konglomerat itu tidak dapat kekal beroperasi seperti sedia kala, melainkan ia “memulakan transformasi bisnes”.
“Berdasarkan permintaan pasaran semasa, ini akan, malangnya, melibatkan pengurangan besar dalam tenaga kerja,” kata surat edaran itu.
Proses pengurangan dan pemberhentian tenaga kerja dijangka akan selesai dalam suku pertama tahun depan, kata surat edaran itu.
Media Prima bagaimanapun menegaskan akan memastikan semua warga kerja yang terjejas ekoran daripada usaha transformasi itu menerima pakej pampasan yang adil dan saksama seperti ditetapkan oleh undang-undang serta kesatuan masing-masing yang akan dibayar secara penuh selepas segala keperluan undang-undang dtunaikan.
“Media Prima juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada warga kerja termasuk perkhidmatan penempatan keluar (outplacement) dan kaunseling kerjaya.
“Pelaksanaan penstrukturan ini dijangka selesai pada suku pertama, 2020,” kata syarikat itu dalam surat edaran itu.
Katanya, landskap media global terus berubah dengan kadar dan skala yang pantas menyebabkan syarikat-syarikat media mengkaji semula serta mengubah model perniagaannya untuk kekal mampan dan berjaya.
“Melangkah ke hadapan, Media Prima, yang sinonim dengan jenama-jenama media dan kandungan popular tanah air akan terus memberi fokus dalam membawa nilai kepada warga kerja, pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingannya,” kata surat edaran itu lagi.
FMT difahamkan pengurusan telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan, dan juga bersama kepimpinan kesatuan sekerja-kesatuan sekerja dalam Kumpulan Media Prima.
FMT dalam laporan tengah hari tadi menyebut pemberhentian itu akan menjejaskan lebih 2,500 pekerja termasuk wartawan. Difahamkan sekurang-kurangnya 500 pekerja editorial akan terkesan dengan keputusan itu.
Dengan keputusan Kumpulan Media Prima itu, dunia media Malaysia bakal menyaksikan satu lagi pusingan pengurangan pekerja selepas situasi membabitkan tenaga kerja Utusan Melayu, penerbit empat akhbar bahasa Melayu, awal bulan lalu.
Difahamkan konglomerat yang mengendalikan pelbagai platform media, menjangkaui seluruh negara bakal mengurangkan pekerjanya kepada satu pertiga berbanding saiz semasa.
Konglomerat itu pernah mengurangkan tenaga kerja kira-kira lima tahun lalu di semua peringkat editorial kumpulannya.
Langkah itu dilihat sebagai tanda terbaru industri media di negara ini masih jauh dari tahap pemulihan berikutan berlakunya penutupan dan penyusunan semula operasi.
Kumpulan Media Prima memiliki sejumlah stesen televisyen dan radio termasuk TV3 dan ntv7 serta syarikat penerbit akhar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.
Taklimat kepada kesatuan sekerja
Dalam pada itu, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) NSTP Berhad, Farah Marshita Abdul Fatah berkata, pihak pengurusan telah mengadakan pertemuan dengan kesemua kesatuan sekerja pada jam 5 petang tadi.
“Pemberhetian kerja akan diadakan pada suku pertama tahun depan,” kata beliau kepada FMT.
“Pengurangan ini bagi menstruktur semula syarikat berikutan keadaan kewangan syarikat.
“Pemberhentian akan membabitkan (prinsip) LIFO (datang kemudian keluar dahulu) dan juga berdasarkan beberapa faktor, antaranya kesihatan dan disiplin,” katanya dan menambah, pembayaran pemberhentian akan dibuat mengikut apa yang termaktub dalam perjanjian kolektif.
Katanya, jumlah yang terbabit dalam pemberhentian akan dibincang dengan pihak pengurusan dan senarai akan dikeluarkan akhir bulan depan.
“Ia akan membabitkan setiap jabatan termasuk kakitangan dan pihak pengurusan.
“Ada unit yang akan dikecilkan dan ada unit yang akan ditutup,” katanya lagi.
Satu sesi townhall bersama pengurusan akan diadakan pada 15 Nov ini.