45 juta penduduk Afrika Selatan berdepan krisis makanan akibat kemarau, kata agensi PBB

45 juta penduduk Afrika Selatan berdepan krisis makanan akibat kemarau, kata agensi PBB

Panel Antarabangsa Mengenai Perubahan Iklim berkata, suhu di Afrika Selatan meningkat dua kali ganda berbanding purata global dan enam daripada sembilan negara Afrika dijangka paling teruk terjejas akibat perubahan iklim.

Seorang lelaki membantu seorang wanita mengangkat bungkusan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa Taufan Idai di sebuah kem di Guara Guara, Mozambique pada 8 Okt lalu. (Gambar Reuters)
CAPE TOWN:
Seramai 45 juta penduduk di Afrika Selatan bakal berdepan masalah kekurangan bekalan makanan teruk untuk enam bulan akan datang akibat kemarau yang kini menjejaskan kira-kira satu perempat daripada komunitinya, kata tiga agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Khamis.

Enam belas anggota Komuniti Pembangunan Afrika Selatan berdepan kemarau teruk akibat perubahan iklim yang mencetuskan huru-hara kepada negara miskin bergelut dengan bencana alam ekstrem seperti Taufan Idai yang membinasakan Mozambique awal tahun ini.

“Kami berdepan kemarau paling teruk dalam tempoh 35 tahun di kawasan tengah dan barat pada musim pertumbuhan (tanaman),” kata pemangku pengarah rantau Afrika Selatan Program Makanan Sedunia (WFP), Margaret Malu.

“Kami mesti menangani keperluan makanan dan nutrisi dengan kadar segera untuk jutaan penduduk, tetapi turut melabur dalam membina ketahanan mereka yang terancam akibat kemarau, banjir dan ribut teruk yang semakin kerap berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

WFP bersama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Dana Antarabangsa bagi Pembangunan Pertanian (IFAD) merayu sumbangan untuk membantu mengurangkan kesan perubahan iklim di Afrika.

Menurut Panel Antarabangsa Mengenai Perubahan Iklim, suhu di Afrika Selatan meningkat dua kali ganda berbanding purata global dan enam daripada sembilan negara Afrika, iaitu Republik Demokratik Congo, Malawi, Mozambique, Tanzania, Zambia dan Zimbabwe dijangka paling teruk terjejas akibat perubahan iklim dalam beberapa tahun akan datang.

“Rantau ini yang mudah terdedah kepada kadar tinggi kebuluran kronik, ketidaksaksamaan dan kemiskinan, perubahan iklim adalah kecemasan sedia ada yang perlu ditangani segera,” kata Pengarah IFAD untuk hab Afrika Selatan, Robson Mutandi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.