4 syarikat dilantik pasar produk halal di Olimpik 2020 Tokyo

4 syarikat dilantik pasar produk halal di Olimpik 2020 Tokyo

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata pihak kementerian sedang membantu syarikat swasta dan korporat tempatan itu memenuhi kehendak Majlis Olimpik Jepun sesuai dengan standard acara sukan Olimpik 2020.

Kerajaan sedang membantu syarikat swasta dan korporat tempatan untuk memenuhi kehendak Majlis Olimpik Jepun sesuai dengan standard acara sukan Olimpik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Usahawan telah mengenal pasti empat syarikat yang akan diberi tangggungjawab menjadi ‘anchor’ bagi memasarkan pelbagai produk halal dari negara ini pada temasya sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo tahun hadapan.

Menterinya, Mohd Redzuan Yusof berkata pihak kementerian sedang membantu syarikat swasta dan korporat tempatan itu memenuhi kehendak Majlis Olimpik Jepun sesuai dengan standard acara sukan itu.

“Pada tahun lepas saya telah berbincang dengan Menteri Ekonomi Jepun dan persetujuan telah dicapai dengan mereka untuk menyediakan ruang untuk produk halal kita.

“Bukan sahaja B2B (business to business) tetapi juga B2G (business to government) untuk memastikan tempat yang telah ditetapkan diberikan kepada empat syarikat anchor yang kita lantik dan mengikut saringan (halal) yang dibuat kerajaan Jepun,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, menyentuh pelaksanaan status hab halal di negara ini Mohd Redzuan berkata sehingga kini 14 Taman Industri Halal berstatus Halmas (Halal Malaysia) telah dibina dengan jumlah pelaburan hampir RM14 bilion.

Ia merangkumi 240 syarikat yang terdiri daripada 45 syarikat multinasional (MNC) dan 195 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sebelum itu, Mohd Redzuan menegaskan projek kereta terbang yang menjadi bahan polemik pelbagai pihak sebelum ini bukanlah inisiatif kerajaan, namun adalah cetusan idea daripada usahawan tempatan yang melihat potensinya.

“Hari ini kita lihat Singapura juga telah mencuba menerbangkan kereta terbang, jadi sebagai kerajaan, kami mempunyai tanggungjawab memastikan minat itu bakal menjadi satu industri yang boleh diberi galakan dan dikembangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.