375,925 langsung tidak bayar balik pinjaman PTPTN

375,925 langsung tidak bayar balik pinjaman PTPTN

Teo Nie Ching berkata, kerajaan akan merangka satu mekanisme baru untuk pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU14.

Teo Nie Ching berkata, PTPTN secara purata menyediakan RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun untuk dipinjamkan kepada 180,000 peminjam baru dan 420,000 peminjam sedia ada.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata kerajaan tidak akan melaksanakan larangan keluar negara terhadap 375,925 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak pernah membayar pinjaman mereka langsung.

Katanya, satu mekanisme baru akan dirangka untuk pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

“Tiada jangka masa untuk melaksanakan mekanisme baru dalam pembayaran pinjaman PTPTN.

“Kita juga tidak berhasrat membuat sekatan ke luar negara bagi peminjam PTPTN yang tidak bayar, tetapi akan buat mekanisme baru untuk ganti yang ada masa ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu jumlah peminjam PTPTN yang tidak membayar pinjaman mereka setakat ini.

Sementara itu, Teo berkata, PTPTN secara purata menyediakan RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun untuk membiayai pinjaman kepada 180,000 peminjam baru dan 420,000 peminjam sedia ada.

Sehingga Sept lalu, katanya, PTPTN meluluskan pinjaman berjumlah RM72.1 bilion kepada 3.14 juta peminjam sehingga mereka tamat pengajian.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM36.5 bilion untuk peminjam di institut pengajian tinggi awam dan RM35.5 bilion bagi peminjam institut pengajian tinggi swasta.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM57.7 bilion telah dikeluarkan kepada peminjam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.