Perkara biasa jika ahli boikot masa umum calon, kata Annuar Musa

Perkara biasa jika ahli boikot masa umum calon, kata Annuar Musa

Ahli Umno diingatkan supaya tidak melupakan perjuangan parti itu untuk merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa percaya tindakan sebilangan ahli Umno memboikot majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng malam tadi adalah perkara biasa.

Beliau sebaliknya mengingatkan ahli Umno supaya tidak melupakan asas dan perjuangan parti, iaitu untuk merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Beliau berkata, keputusan meletakkan Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai itu dibuat atas muafakat presiden parti yang terlibat dalam gabungan BN, termasuk rakan kerjasama Umno, iaitu PAS.

“Itu perkara biasa biasa berlaku setiap kali pemilihan calon. Hal ini kerana ada perbezaan pendapat. Saya faham dengan hasrat yang dimahukan ahli Umno, mereka mahukan calon Umno dan mereka sudah sampaikan hasrat itu.

“Kita bincang panjang lebar dan akhirnya sudah sampai konsensus dan kita rasakan ini adalah penting. Prinsip asas dan perjuangan parti mesti diutamakan dan setelah bincang panjang lebar, kita setuju untuk bawa Wee mewakili BN,” katanya di Parlimen, hari ini.

Semalam, Berita Harian dalam laporannya berkata, ahli Umno bertindak memboikot majlis pengumuman calon BN untuk PRK Tanjung Piai.

Tinjauan akhbar itu pada majlis penamaan calon itu mendapati hampir 90 peratus kehadiran di Rumah Umno Pontian sejak jam 7.30 malam itu adalah dalam kalangan ahli MCA.

Menurut laporan itu lagi, hampir keseluruhan Peti Daerah Mengundi (PDM) serta jentera BN di Parlimen berkenaan yang terdiri daripada kalangan ahli Umno kawasan berkenaan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan yang tidak mendengar hasrat majoriti pengundi di situ.

Annuar berkata, beliau sendiri akan turun untuk bertemu dan berunding dengan jentera PDM di situ bagi menyelesaikan isu yang timbul.

Annuar pada masa sama turut menangkis kenyataan pihak tertentu yang mengkritik keputusan BN meletakkan calon “kitar semula” memandangkan Wee pernah bertanding atas tiket BN dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH).

“Tidak mengapa, kita juga ada perdana menteri yang dikitar banyak kali. Jadi, tidak ada masalah besar. Adalah bagus untuk mempunyai calon “kitar semula” yang memegang PhD, dia ada khidmat yang cemerlang dan juga merupakan calon tempatan,” katanya.

Terdahulu dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan presiden parti itu, Abdul Hadi Awang bersetuju dengan pemilihan Wee sebagai calon BN dalam PRK tersebut pada 16 Nov depan.

Dalam kenyataan hari ini, Takiyuddin berkata, parti itu yakin pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat dan menjadi formula bagi menguatkan suara pembangkang di peringkat pusat.

Beliau juga berkata, PAS berharap pemilihan itu akan membawa pendekatan politik matang dan tidak melampau.

“Sokongan ini adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 Sept lalu,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas.

Penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.