
Saksi pendakwaan Wang Dequn, 58, memberi keterangan di perbicaraan mengenai pakatan haram yang didakwa dijalankan oleh seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan lima yang lain yang didakwa orang tengah.
Wang berkata seorang tertuduh, Lai Chin Wah menawarkan untuk mendapatkan lesen memandu untuknya.
Dia berkata Lai, yang mempunyai gelaran “Datuk”, telah mengatur untuk dia mengambil ujian memandu. Dia lulus ujian itu dan kemudian diberikan lesen.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia pernah bertanyakan kepada Lai kenapa pasportnya tertera nama “Ewe Chor Beng”.
Katanya, Lai memberitahu sudah menjadi kelaziman dan amalan biasa untuk menggunakan nama lain dalam pasport Malaysia.
Bagi memeriksa sama ada pasport itu berkesan atau tidak, Lai membawanya ke sempadan Thailand. Dia berjaya pulang ke Malaysia selepas bermalam di sana.
Dia berkata seorang lelaki Thai, bernama Liu Ge, yang merujuknya kepada Lai meminta dia membayar Lai RM100,000.
“Saya bayar AS$17,000 hingga AS$18,000 (kira-kira RM70,000) dan selebihnya dalam ringgit,” katanya.
Wang berkata dia juga mahu mendapatkan seorang peguam untuk memeriksa kesahan paspot dan dokumen lain, tetapi tertangguh kerana jadualnya yang ketat.
Dia berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim.
Peguam pembelaan kemudian bertanyakan mengenai nama alternatifnya dan penggunaan paspot China dan Vanuatu miliknya.
Mohd Hisham Nazir tanya Wang pernahkah dia menggunakan pasport Vanuatu untuk ke Amerika Syarikat dan pasport China bawah nama “Wang Jinlai” untuk ke negara-negara Eropah.
Wang berkata dia hanya menggunakan pasport Vanutu untuk perjalanan keluar negara tahun ini, dan pasport China pada 2018. Dia berkata dia menggunakan pasport Malaysia sekali sahaja, untuk ke Thailand.
Ketika ditanya Hisham adakah dia mendapatkan pasport Malaysia kerana sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa kerana didakwa melakukan jenayah di China, Wang menjawab tidak.
Hisham kemudian tanya Wang adakah dia ditangkap oleh pihak berkuasa China kerana salah sebuah syarikatnya kontraktor pertahanan terbesar di China. Wang menafikannya.
Hakim Akhtar Tahir mengarahkan pasport China dipulangkan kepada Wang, supaya dia boleh dihantar pulang ke China pada 13 Nov.
Wang sedang menjalani penjara tiga bulan di Penjara Jawi. Dia ditangkap dengan pasport Malaysianya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Ogos.
Perbicaraan akan bersambung dari 6 hingga 10 April.
Wang memberi keterangan di perbicaraan Penolong Pengarah JPN, Mohd Faizul Arifin dan lima yang lain yang dikenakan 32 tuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan dalam satu sindiket menjual kerakyatan kepada warga China.
Faizul dan lima yang lain dituduh bawah Seksyen 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Faizul didakwa mengeluarkan MyKad untuk Wang, Yang Xiaohong, Pheh Jin Leong, Tan Xiu Xiu dan Lim Hock Eng pada September dan Disember tahun lepas dan Mei tahun ini.
Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34; dan Chien Guan Chai, 36 juga dipanggil ke kandang tertuduh.
Mereka berenam juga dituduh bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670) kerana atas dakwaan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan dan mengeluarkan dokumen dengan tipuan kepada beberapa warga asing.
Lai juga berdepan tiga tuduhan bawah Akta 670 kerana menjual sijik kelahiran, MyKad dan pasport palsu kepada Wang.
Lai diwakili peguam Sivahnanthan Ragava, sementara Chien dan Mohd Faizal Tan Abdullah diwakili peguam Ranjit Singh Dhillon. Loh pula diwakili Harpal Singh, Yap diwakili Lee Kean Wooi, dan Faizul diwakili Hisham.