Kena berani, hak bukan perokok lebih penting

Kena berani, hak bukan perokok lebih penting

Pihak kerajaan harus terus mengambil langkah berani, tegas dan konsisten dalam melindungi hak rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selamat daripada rokok serta pencemaran asap yang dihasilkan oleh rokok.

Setiap manusia berhak untuk melindungi kesihatan mereka serta menghirup udara yang segar, bersih, dan bebas daripada sebarang pencemaran termasuklah pencemaran yang datang daripada asap rokok.

Umum telah pun ketahui mengenai bahaya yang dibawa oleh rokok. Bahaya rokok ini bukan sahaja boleh berlaku terhadap diri perokok itu sendiri malah boleh turut juga melibatkan orang sekeliling melalui asap rokok yang dihasilkan. Perkara ini telah pun disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri, hasil pelbagai kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan oleh mereka selama bertahun-tahun.

Tidak terdapat peruntukan jelas yang menyatakan bahawa perokok mempunyai hak untuk merokok sama ada di bawah Perlembagaan Persekutuan ataupun di bawah Perisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Isu ini juga telah banyak kali dibangkit di beberapa negara di Eropah. Namun segala usaha untuk mengaitkan isu merokok dengan hak asasi manusia menemui kegagalan. Apa yang paling penting ialah hak untuk menjaga kesihatan serta melindungi alam sekitar daripada kesan asap rokok.

Berdasarkan perkara ini, apa yang paling jelas kini hanya lah hak untuk setiap manusia untuk hidup dalam persekitaran dan udara yang bersih serta hak untuk melindungi kesihatan mereka. Ini jelas termaktub di bawah Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC, WHO) yang telah ditandatangani dan disahkan oleh Malaysia pada Dis 2005. Artikel itu memperuntukkan dengan jelas bahawa setiap anggota parti termasuk Malaysia adalah komited untuk mengambil tindakan melindungi orang awam daripada ancaman asap rokok yang boleh mengancam kesihatan mereka.

Buat sekian lama, Malaysia telah pun mengambil beberapa langkah drastik dalam perkara ini melalui pengisytiharan beberapa buah kawasan yang dilarang untuk merokok seperti yang termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1983.

Mulai 1 Jan 2019, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini. Arahan larangan merokok berkenaan bukan sahaja membabitkan semua restoran dan premis makanan malah turut meliputi warung-warung makanan di tepi jalan. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan yang baru ini.

Terdapat banyak lagi kawasan larangan merokok di Malaysia seperti yang telah diperuntukkan di bawah peraturan itu, seperti dalam mana-mana kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka, kawasan awam yang digunakan untuk tujuan keagaaman, taman asuhan kanak-kanak, premis kerajaan, menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri, tempat hiburan atau teater, kecuali mana-mana disko, kelab malam atau kasino, hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat makan atau kedai berhawa dingin, kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, tempat kerja berhawa dingin dengan suatu sistem hawa dingin berpusat, bas sekolah, lapangan terbang, kafe internet, kawasan khidmat negara, perpustakaan, bangunan atau tempat permainan kanak-kanak atau taman, kompleks membeli belah, stesen minyak, kawasan yang digunakan untuk aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman, stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium, institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi, dan tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan dalam bangunan.

Kawasan larangan merokok dalam negara kita adalah luas. Pihak kerajaan juga ada menyatakan hasratnya untuk memperluaskan skop kawasan larangan merokok ini dari masa ke semasa di masa depan. Pihak kerajaan tidak seharusnya melayan karenah para perokok yang akan sentiasa mempertikaikan hasrat murni pihak kerajaan untuk membendung tabiat merokok.

Pihak kerajaan harus terus mengambil langkah berani, tegas dan konsisten dalam melindungi hak rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selamat daripada rokok serta pencemaran asap yang dihasilkan oleh rokok.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.