Patuhi prinsip menang-menang, hormati sensitiviti tempatan, kata duta China

Patuhi prinsip menang-menang, hormati sensitiviti tempatan, kata duta China

Bai Tian berkata, kontraktor China di Malaysia perlu mematuhi undang-undang tempatan dan memahami perubahan dalam dasar serta peraturan.

Bai Tian berkata, pelabur dan kontrator China perlu memberi perhatian terhadap kata-kata dan tindakan mereka bagi menghormati adat serta agama di Malaysia.
PETALING JAYA:
Duta China ke Malaysia, Bai Tian menggesa warganegaranya lebih peka terhadap sensitiviti tempatan di destinasi pelaburan mereka, susulan kontroversi baru-baru ini membabitkan Beijing.

Katanya, kontraktor China di Malaysia perlu mematuhi undang-undang tempatan dan memahami perubahan dalam dasar serta peraturan.

Beliau berkata, pelabur China juga perlu meningkatkan komunikasi dengan rakyat Malaysia, termasuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

“Kita perlu mematuhi prinsip manfaat bersama dan menang-menang,” katanya dipetik South China Morning Post dalam sebuah seminar anjuran bersama Kedutaan China di Kuala Lumpur dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Malaysia ialah negara berbilang bangsa dan budaya. Syarikat kita perlu memberi perhatian terhadap kata-kata dan tindakan bagi menghormati adat serta agama tempatan.”

Beliau berkata, kontraktor China juga perlu menghormati dan mengambil kira kepentingan syarikat tempatan.

Gesaan itu timbul seminggu selepas kerajaan mengharamkan sebuah komik yang mempromosikan inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) China.

Kementerian Dalam Negeri dilaporkan berkata, buku yang dihasilkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (MCBC), Hew Kuan Yew itu mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta salah.

Hew kemudiannya meletak jawatan dalam MCBC pada 24 Okt lalu.

Pihak berkuasa turut mengharamkan komik berjudul “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” untuk diedarkan kepada sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.