
Mujahid yang menjaga hal ehwal agama berkata, protokol baru itu wajar dan selari dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menuntut mana-mana pendakwah tidak kira agama perlu diteliti latar belakang mereka bagi mengelakkan kemasukan fahaman yang tidak bersesuaian dengan konteks Malaysia yang berbilang kaum.
“Kemungkinan juga yang berlaku ialah dalam kuliah (penceramah) itu tidak menghargai sensitiviti kaum dan agama di negara ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata pihak kementerian itu melakukan proses semakan dengan badan keagamaan berkaitan yang terdapat dalam negara bagi memastikan kumpulan pendakwah asing bebas daripada fahaman songsang.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata pelaksanaan tersebut bukan hanya melibatkan ceramah agama tetapi keselamatan negara sebagai keutamaan.
Hal ini katanya, Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menjadikannya mudah “rapuh”.
“Apa-apa boleh berlaku. Ketika ini, kita hanya mahu menjaga keutamaan kita. Sudah tentu keselamatan negara akan menjadi keutamaan paling tinggi,” katanya.
Ditanya kebarangkalian penceramah asing kontroversi yang menetap di Malaysia akan dikenakan pelaksanaan tersebut, Mujahid enggan mengulas lanjut.
“Benda itu dah masuk kepada perkara terperinci. Saya hanya memberi komen kepada satu dasar. Tapi siapa, apa, terpulanglah, tengoklah.
“Saya tidak akan ada apa kebarangkalian. Saya cuma menerimanya sebagai dasar umum kita,” katanya.
Langkah itu bagaimanapun dikritik aktivis Islam dan ahli akademik Amerika Syarikat, Nader Hashemi yang mengetuai Pusat Pengajian Timur Tengah di Universiti Denver.
Hashemi berkata, kenyataan Muhyiddin itu memberi mesej “Malaysia Baru tidak jauh berbeza daripada Malaysia lama di bawah Najib Razak”.
Sementara itu, Dr Ahmad Farouk Musa yang mengetuai Islamic Rennaissance Front berkata pengumuman terbaru itu menunjukkan golongan lama masih menguasai institusi kerajaan seperti Jakim.
“Apabila tiada rombakan sebenar dalam Jakim, orang sama dengan mentaliti sama menguasai Jakim.”