
Beliau berkata dasar baru itu telah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Negara (MPN) dan dipersetujui di peringkat kementerian.
“Negara maju sudah memperkenalkan dasar ini melalui undang-undang yang khusus. Contohnya, Jepun ada data spesifik yang mewajibkan perolehan kerajaan menggunakan 50% produk tempatan.
“Tetapi, negara kita masih jauh ketinggalan kerana belum mencapai sejumlah peratusan kerana cenderung menggunakan produk dari luar negara.
“Jadi, pengenalan dasar baru ini akan meningkatkan lagi penglibatan usahawan tempatan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis sesi pengenalan prototaip bas elektrik rekaan tempatan iaitu Elektrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM) yang dihasilkan Sync R&D Sdn Bhd, di sini hari ini. Sebelum itu, beliau turut merasai pengalaman menaiki EBIM dan dibawa mengelilingi Kuala Lumpur.
Mohd Redzuan juga berkata dasar baru itu juga akan menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Sebelum ini, kita sudah mempunyai dasar sebegini tetapi dasar baru yang diluluskan ini dijangka membantu lebih ramai pihak khususnya usahawan muda.
“Di pihak kementerian, kita mempunyai pelbagai cara dan program yang membantu mereka untuk meningkatkan pengeluaran setanding negara luar sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing,” katanya.