
“Jika seseorang mahu menyuarakan pandangan berbeza mengenai perkara agama secara aman dan tanpa kekerasan, mereka patut membenarkan hak asasi manusia ini,” kata Nader Hashemi yang mengetuai Pusat Pengajian Timur Tengah di Universiti Denver memberitahu FMT.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin yang pihak berkuasa akan terus memeriksa latar belakang pendakwah Islam asing, termasuk mereka perlu mendapatkan tauliah untuk berceramah.
Beliau berkata, kementeriannya turut akan menyemak dengan badan keagamaan berkaitan untuk memastikan kumpulan pendakwah itu bebas daripada fahaman songsang.
“Sesiapa saja yang datang ke sini, walau apa bentuk ceramah sekalipun, kita pantau. Pendakwah dalam kalangan Islam, ada Majlis Agama Islam Negeri yang boleh berkuasa dan kalau mereka (pendakwah) tiada tauliah, tidak akan dibenarkan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Tetapi, Hashemi berkata, kenyataan Muhyiddin itu memberi mesej “Malaysia Baru tidak jauh berbeza daripada Malaysia lama di bawah Najib Razak”.
“Pemeriksaan ke atas pendakwah yang datang ke Malaysia untuk membincangkan isu agama menunjukkan autoritarianisme masih hidup di Malaysia dan kebebasan secara demokrasi sepenuhnya kekal sebagai perjuangan dan aspirasi berterusan.”
Dahulu, pegawai agama menahan atau melarang ahli akademik membabitkan pendakwah Islam asing dengan berkata, sesiapa yang mahu berceramah mengenai Islam perlu mendapat tauliah daripada pihak berkuasa Islam.
Pada Sept 2017, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan penulis Turki, Mustafa Akyol dan memaksa sebuah forum dibatalkan, di mana beliau sepatutnya bercakap mengenai kebebasan agama dan murtad.
Tuan rumahnya, Dr Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front (IRF), turut dipanggil Jawi.
Bercakap kepada FMT, Farouk berkata, kerajaan berdepan “kemerosotan” dengan pengesahan Muhyiddin yang dasar kerajaan terdahulu akan dikekalkan.
Katanya, pengumuman terbaru itu menunjukkan golongan lama masih menguasai institusi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Apabila tiada rombakan sebenar dalam Jakim, orang sama dengan mentaliti sama menguasai Jakim.”
Beliau yang bersetuju dengan kebimbangan disuarakan Hashemi berkata, keengganan Putrajaya untuk membatalkan pengharaman beberapa buku diterbitkan IRF menunjukkan tiada perubahan berlaku.
“Dan mengetahui alasan mereka mengharamkan buku IRF kerana berlawanan penafsiran Islam mereka, masa depan kelihatan suram untuk negara ini.”
Farouk, kumpulannya yang berpegang kepada pembaharuan Islam berdasarkan ilmiah tradisional, berkata umat Islam dahulu berkembang maju kerana mereka menerima kepelbagaian pendapat.
Hashemi yang merupakan ahli akademik kelahiran Iran, berkata beliau faham jika pihak berkuasa bimbang mengenai ucapan berunsur kebencian, termasuk sekatan ke atas pendakwah India, Dr Zakir Naik.
“Saya menyokong had ke atas ucapan kebencian. Tetapi, di sini saya tetapkan batas saya.
“Umat Islam tidak patut takut kepada perdebatan terbuka, bebas dan tidak ditapis, khasnya jika ia dilakukan dengan ketertiban.”