Tanah Kg Baru hanya boleh diambil untuk pembinaan awam, kata ketua pembangkang

Tanah Kg Baru hanya boleh diambil untuk pembinaan awam, kata ketua pembangkang

Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak boleh mengambil tanah Kampung Baru secara paksa untuk tujuan komersil, jika pemiliknya tidak bersetuju dengan tawaran RM1,000 sekaki persegi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada Sabtu lalu berkata, pengambilan tanah di Kampung Baru secara paksa dengan pampasan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 hanya akan dipertimbangkan mengikut keadaan tertentu.
KUALA LUMPUR:
Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hanya boleh mengambil tanah di Kampung Baru untuk tujuan pembinaan projek pembangunan awam atau kegunaan awam di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil tanah Kampung Baru secara paksa untuk tujuan komersil, jika pemiliknya tidak bersetuju dengan tawaran RM1,000 sekaki persegi.

“Kalau hendak buat hospital di Kampung Baru, barulah boleh ambil, kalau rakyat tidak setuju pun boleh ambil. Kemudian kalau tidak setuju dari segi nilai pampasan, tuan tanah boleh saman di mahkamah untuk tentukan jumlah pampasan.

“Di Kampung Baru, bukannya untuk kegunaan awam, tetapi untuk tujuan komersil. Kalau tujuan komersil, Akta Pemilikan Tanah 1960 tidak membenarkannya. Jadi, bagaimana dia buat kenyataan akan ambil dan sebagainya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, pengambilan tanah di Kampung Baru secara paksa dengan pampasan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 hanya akan dipertimbangkan mengikut keadaan tertentu.

Pada 21 Sept lalu, kerajaan menawarkan RM850 sekaki persegi bagi pengambilan tanah di Kampung Baru, tetapi, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran itu tidak setimpal lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Susulan itu, kerajaan pada Khamis lalu menaikkan tawaran itu kepada RM1,000 sekaki persegi, dengan RM850 dibayar dalam bentuk pulangan pilihan pemilik, manakala baki RM150 dalam bentuk pegangan saham syarikat tujuan khas (SPV).

Hari ini, Ismail Sabri berkata, pemilik tanah Kampung Baru berhak menolak tawaran terbaru kerajaan.

“Mereka berhak untuk kekalkan kerana itu hak mereka terhadap tanah mereka. Lainlah kalau untuk kegunaan awam, mungkin mereka (penduduk Kampung Baru) tidak ada pilihan.

“Tetapi, kalau setakat hendak buat kompleks beli-belah dan sebagainya, bagi saya tiada hak bagi kerajaan persekutuan rampas tanah mereka. Ia salah dari segi undang-undang. Saya tidak tahu undang-undang mana yang menteri wilayah hendak gunakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.