Pemain negara tersingkir kejohanan skuasy wanita dunia

Pemain negara tersingkir kejohanan skuasy wanita dunia

S Sivasangari tewas dalam perlawanan pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2019 yang berlangsung di Mesir pada Isnin.

Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cabaran pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2019 berakhir apabila beliau tewas dalam perlawanan pusingan ketiga kejohanan itu yang berlangsung di Mesir pada Isnin (Selasa di Malaysia).

Pemain ke-42 dunia itu mempamerkan aksi memberangsangkan menentang pilihan ke-14 Hania El Hammamy namun kalah 8-11, 12-10, 8-11 dan 9-11 kepada pemain muda dari Mesir itu dalam saingan kira-kira 53 minit, menurut laman sesawang Persatuan Skuasy Profesional (PSA) www.psaworldtour.com.

Hania, 19, dijadual bertemu pilihan ketiga, Camille Serme bagi penentuan tempat ke separuh akhir selepas pemain dari Perancis itu menyingkirkan rakan sepasukan Hania yang juga pilihan ke-15, Yathreb Adel, dengan 11-6, 11-2 dan 11-6 hanya dalam masa 28 minit dalam satu lagi perlawanan peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, Sivasangari mengejutkan dua pemain utama — pemain nombor lapan dunia Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat dalam pusingan pertama dan pemain nombor 29 dunia, Milou van der Heijden dari Belanda — dalam pusingan kedua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.