Peguam cabar sekolah vernakular didengar 4 Nov

Peguam cabar sekolah vernakular didengar 4 Nov

Jabatan Peguam Negara dijangka membantah kebenaran diberi kepada peguam untuk mencabar kewujudan sekolah Cina dan Tamil.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (tengah) with Shaharudin Ali (dua dari kiri) selepas memfailkan usul di Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 23 Okt.
PUTRAJAYA:
Mahkamah menetapkan 4 Nov untuk mendengar permohonan seorang peguam yang memohon ia mengisytiharkan tindakan Parlimen meluluskan pindaan tertentu pada Akta Pendidikan yang meneruskan kewujudan sekolah vernakular.

Peguam Shahrudin Ali, yang tampil mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan tarikh pendengaran pada firma guamannya petang tadi.

“Kami juga dimaklumkan semua penghujahan bertulis mesti difailkan menjelang Jumaat (1 Nov),” kata Shahruddin.

Jabatan Peguam Negara, yang akan mewakili Kementerian Pendidikan dan Putrajaya, dijangka akan mengambil pendirian kenapa kebenaran tidak harus diberikan.

Khairul memfailkan usul pada 23 Ogos memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Parlimen meluluskan pindaan pada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan adalah tidak berperlembagaan.

Dia perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim seperti yang ditetapkan Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan kerana dia mahu mencabar kompetensi badan perundangan persekutuan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara, meluluskan undang-undang.

Akta Pendidikan yang dipinda itu diluluskan pada 1996 bagi menggantikan Ordinan Pendidikan 1956 dan Akta Pendidikan 1961.

Negara ketika itu bawah pentadbiran Barisan Nasional, dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Najib Razak sebagai menteri pendidikan.

Sesyen 17 Akta Pendidikan menyatakan bahasa kebangsaan bahasa pengantar utama:

(1) …di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen ini.

(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.

Manakala, Seksyen 28 pula menyentuh tentang penubuhan dan penyenggaraan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Menurutnya, tertakluk kepada peruntukan akta itu, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.

Dalam usulnya, Khairul menyatakan Parlimen tiada kuasa untuk meluluskan dua peruntukan undang-undang itu dan ia tidak memberikan menteri pendidikan budi bicara untuk menubuhkan sekolah rendah Cina dan Tamil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.