Kanak-kanak 2 tahun terperangkap 3 hari dalam telaga ditemui mati

Kanak-kanak 2 tahun terperangkap 3 hari dalam telaga ditemui mati

Mayat Sujith Wilson dibawa keluar dengan menggunakan peralatan khas selepas terperangkap selama tiga hari dalam telaga, kata pegawai daerah S Sivarasu.

Sujith Wilson, merupakan kanak-kanak kedua dalam empat bulan, menarik perhatian seluruh negara selepas dia terjatuh ke dalam telaga di Tiruchirappalli, Tamil Nadu. (Gambar Twitter)
NEW DELHI:
Mayat budak lelaki berusia dua tahun, yang terbunuh selepas terperangkap dalam telaga 26 meter di selatan India selama lebih tiga hari, dibawa keluar hari ini, kata pihak berkuasa.

Sujith Wilson merupakan kanak-kanak kedua dalam empat bulan menarik perhatian seluruh negara selepas dia jatuh ke dalam lubang berdiameter 30sm sambil bermain berhampiran rumahnya di daerah Tiruchirappalli, Tamil Nadu, pada Jumaat.

“Mayat dibawa keluar dengan menggunakan peralatan khas dan badannya berada dalam keadaan terurai,” kata pegawai daerah S Sivarasu kepada wartawan.

Beliau menambah, pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca kematian.

Kamera termal digunakan untuk memantau suhu kanak-kanak semasa oksigen dibekalkan melalui paip.

Penyelamat berkata kanak-kanak itu tidak sedarkan diri tetapi bernafas sehingga pagi Ahad, tetapi mereka tidak dapat memeriksa keadaannya sejak itu kerana dia telah jatuh lebih jauh ke bawah.

Pekerja menggunakan sebuah gerudi minyak untuk menggali lubang selari dengan telaga, tetapi rig tersebut runtuh sekitar 10m dari lokasi budak itu kerana tanah berbatu.

Percubaan menggunakan peranti robotik untuk menurunkan tali ke pergelangan tangan budak itu pada Sabtu gagal.

Ahli-ahli politik membanjiri lokasi kejadian manakala Perdana Menteri Narendra Modi dan pemimpin pembangkang Rahul Gandhi menyampaikan “doa” mereka menerusi kenyataan menerusi Twitter ketika seluruh negara tertumpu ke arah Tiruchirappalli.

Ia adalah terbaru dalam siri kejadian membabitkan kanak-kanak yang jatuh ke dalam telaga, yang tidak digunakan di kawasan pedalaman India.

Pada bulan Jun, seorang budak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas terperangkap empat hari di negeri Punjab.

Pada 2006, pasukan penyelamat menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, yang menjadi tajuk utama ketika dia pulih dengan selamat di negeri Haryana, setelah terjebak dalam telaga 18m selama 48 jam.

Kewujudan telaga adalah biasa di seluruh India, terutama di pedalaman kerana merupakan sumber utama air untuk petani dan pengguna domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.