Mayat suspek cuba pecah rumah ditemukan dalam longkang

Mayat suspek cuba pecah rumah ditemukan dalam longkang

Mayat ditemui orang awam sekitar 11.10 malam dalam keadaan hanya berseluar jeans biru dan berkasut.

KUANTAN: Mayat seorang lelaki disyaki terlibat dalam percubaan memecah masuk sebuah rumah ditemukan dalam longkang di Taman Inderapura semalam.

Ketua Polis Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata mayat itu ditemui orang awam sekitar 11.10 malam, dalam keadaan hanya berseluar jeans biru dan berkasut.

Beliau berkata seorang wanita mendakwa mayat itu bekas suaminya yang berusia 47 tahun dan beralamat di Jalan Gambang berdasarkan tanda pada lengan kanan si mati.

“Pemeriksaan awal pada tubuh tidak menemui sebarang tanda kecederaan atau pergelutan, namun keterangan tuan rumah mendakwa terdapat kejadian cuba memecah masuk sebuah rumah di taman perumahan itu pada Jumaat lepas.

“Kita tidak menolak kemungkinan si mati terlibat dan cuba menyembunyikan diri di dalam longkang sebelum mayatnya ditemui,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noor berkata mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.