
Beliau mengakui fenomena lompat parti dalam kalangan wakil rakyat Umno ke PPBM sudah berakhir, tetapi bertanya daripada manakah Zahid memperoleh angka 91 sebagai jumlah semua kerusi Parlimen Umno dan sekutunya.
“Zahid sepatutnya tidak bercakap tentang pembentukan kuasa ketiga, tetapi tentang perpecahan dalam kalangan ahli Umno, dan pembangkang umumnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramasamy merujuk komentar Zahid seperti dilaporkan Malaysiakini semalam yang memetik presiden Umno itu berkata bahawa Umno dan sekutu pembangkangnya boleh lahir sebagai kuasa ketiga di negara ini.
Zahid menyebut 40 ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN), 18 PAS, 19 dari Sarawak, sembilan Sabah dan “lima lagi”.
Bagaimanapun Ramasamy, yang juga merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, hanya enam ahli Parlimen Umno menyuarakan sokongan supaya Dr Mahathir Mohamad menyempurnakan tempoh penggal lima tahun sebagai perdana menteri.
Ini katanya, boleh dibandingkan dengan persetujuan Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar Ibrahim akan mengambil alih kepimpinan kerajaan walaupun masanya tidak ditetapkan.
Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).
“Jika hanya enam wakil rakyat Umno menyokong perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya berkhidmat hingga tamat penggal, maka ia sudah memadai untuk menggambarkan tahap perpaduan dalam Umno berhubung pelbagai isu nasional,” katanya.
Beliau berkata, Umno dan BN kalah dalam pilihan raya umum tahun lepas susulan “beban perbuatan rasuah, salah urus dan skandal”.
“Justeru Umno harus memeriksa dirinya sebelum ia mampu muncul sebagai satu kuasa politik baru, apatah lagi untuk berperanan sebagai pemain utamanya.
“Jika Umno tidak mampu mengetengahkan barisan yang bersatu dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, maka Zahid sebenarnya bercakap tentang kuasa ketiga yang mana?”
Ramasamy juga berkata, isu peralihan kepimpinan kerajaan adalah tertakluk kepada keputusan parti komponen PH.
“Jika majlis pimpinan PH mengabaikan tanggungjawabnya dalam menentukan isu peralihan itu, maka mungkinlah pada ketika itu kuasa politik luar ada peranannya,” kata beliau.