
Semangat, idealisme dan aspek praktikal yang ditunjukkan pasukan ragbi Jepun ini boleh dijadikan aspirasi kepada negara sedang mengalami transisi seperti Malaysia untuk terus maju dan berjaya.
Pada edisi Piala Dunia Ragbi (RWC) 2019 di Tokyo, semua peminat ragbi menantikan penampilan pasukan ragbi Jepun, yang turut dikenali sebagai The Brave Blossoms.
Siapa sangka Sakura kecil dan “underdog” ini cukup berbisa untuk menyakiti setiap pasukan besar dalam sukan ragbi. Jepun mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Asia layak ke suku akhir RWC 2019.
Bagaimanakah Jepun boleh menunjukkan prestasi menakjubkan ini? Apakah faktor kejayaan Jepun membina pasukan ragbi yang digeruni dunia? Apakah teladan yang kita boleh ambil daripada kebangkitan pasukan Jepun ini?
Perubahan untuk berjaya
Jika New Zealand mempunyai “Haka”, pasukan ragbi Jepun pula mempunyai semangat “Katsumoto”. Berdasarkan sejarah, Katsumoto ialah seorang pahlawan samurai Jepun yang handal dan terkenal dengan persediaan rapi sebelum bertempur dengan musuh.
Katsumoto bermaksud “kemenangan” dalam bahasa Jepun. Semangat ini telah membina mentaliti pemain untuk bermain dengan sempurna dan terbaik secara taktikal dan spiritual.
Kehadiran Eddie Jones sebagai jurulatih pasukan Jepun pada tahun 2012 telah mengubah pasukan itu. Eddie telah menamatkan kemarau kekalahan selama 24 tahun pasukan ragbi Jepun dengan menanam mentaliti seorang juara.
“Budaya orang Jepun sentiasa memberi fokus kepada perkara yang sukar dilakukan. Eddie mengubah mentaliti pemain dengan memberi fokus kepada kekuatan pasukan.”
Ini adalah pandangan bekas ketua pasukan Jepun, Toshiaki Hirose mengenai Eddie Jones dalam satu temu bual bersama The Guardian UK.
“Beliau meyakinkan pemain bahawa Jepun mampu mengalahkan pasukan gergasi atas faktor disiplin yang tinggi, semangat bersama dan kuat berusaha”, tambah Hirose dalam temu bual tersebut.
Tanpa semangat Katsumoto, tanpa perubahan mentaliti dalam budaya pasukan ragbi Jepun, tidak bermaksud pasukan Sakura tidak boleh bermain ragbi.
Tetapi mereka hanya bermain sebagai pasukan yang mungkin akan kalah dalam tempoh 30 tahun lagi. Mungkin juga terus dibelasah teruk.
Apakah yang boleh kita pelajari?
Sifat terbuka menerima perubahan merupakan aspek penting untuk berjaya. Keterbukaan pemain Jepun menerima perubahan ideologi dan taktikal Eddi Jones pada tahun 2012 menyebabkan pasukan ini berjaya menamatkan badi kekalahan teruk selama 24 tahun.
Keterbukaan kepada idea baru juga amat penting bagi rakyat Malaysia untuk menerima perubahan yang baik. Cepat atau lambat bukan persoalan tunggal untuk mengukur perubahan sesebuah negara, tetapi sejauh manakah kualiti perubahan ini dapat dirasai oleh rakyat dan negara untuk masa hadapan.
Selain itu, pasukan Jepun juga membuktikan bahawa kepelbagaian adalah tunjang kepada kekuatan sebuah pasukan.
Pemain Jepun terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada pemain neutralisasi dan berdarah campur. Ketua pasukan Jepun, Micheal Litch juga berasal dari New Zealand dan mendapat kerakyatan pada tahun 2013.
Jelas menunjukkan pasukan ragbi Jepun mementingkan kemahiran pemain sebagai penyumbang utama kejayaan pasukan, bukan tanpa mengira warna kulit.
Jika kita melihat kepelbagaian latar belakang dan kepakaran rakyat Malaysia satu perkara penting, tentunya ia akan memberi manfaat kepada pembangunan negara.
Persoalannya sejauh manakah kita benar-benar melihat kepelbagaian di negara ini sebagai satu kekuatan?
Dalam menempa kejayaannya, pasukan Sakura ini mengajar kita bahawa kejayaan tidak datang dengan sekelip mata.
Jepun mengambil masa 24 tahun untuk benar-benar berubah. Ia mengambil masa tiga tahun untuk mengalahkan Afrika Selatan dan hampir 30 tahun untuk memasuki suku akhir RWC.
Pasukan Jepun sedar mereka tidak boleh terus menjadi juara. Setiap kejayaan mempunyai tangga yang perlu didaki mengikut usaha dan kemampuan.
Malah misi utama pasukan Sakura dalam RWC 2019 tercapai apabila mereka layak ke peringkat suku akhir dan menjadi juara kumpulan buat pertama kalinya. Ini satu pendekatan realistik untuk melihat perubahan.
Begitu juga dengan perubahan dalam Malaysia Baru, kita hendaklah bersikap rasional bahawa perubahan tidak boleh datang dalam tempoh yang singkat dan mudah.
Sedangkan untuk melihat pertukaran kerajaan mengambil masa 60 tahun, apakah rasionalnya untuk merasai perubahan dalam satu tempoh yang singkat?
Mampukah kita?
Jika pasukan ragbi Jepun boleh mengubah mentaliti lapuk kepada juara, bekerja keras dan bersatu padu untuk menamatkan badi kekalahan selama 24 tahun, maka apakah kita juga mampu melakukan perkara sama untuk terus maju dan berjaya?
Adakah kita bersungguh-sungguh menamatkan “zaman perit” Malaysia selama 61 tahun untuk mencipta kejayaan 61 tahun untuk masa hadapan?
Kita belum bersedia untuk melakukan sedemikian kerana kita masih terperangkap dengan “romantisme” lama yang kita fikir baik dan selesa.
Ramai antara kita lebih berbangga dan meratap sejarah lama, tanpa melakukan sesuatu yang terbaik buat masa sekarang agar kesilapan dahulu tidak berulang.
Kejayaan Malaysia bergantung pada kebijaksanaan rakyat dan pemimpin.
Rakyat mempunyai peluang untuk bersatu padu memajukan Malaysia atau memilih untuk membina tembok pemisah, memainkan isu pecah belah rakyat yang boleh mengganggu kemakmuran semua.
Fakhrurrazi Rashid adaah pembaca FMT.
Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.