Bot terbalik, pengarah filem Pitt Haniff dikhuatiri lemas

Bot terbalik, pengarah filem Pitt Haniff dikhuatiri lemas

Mangsa dikatakan menaiki bot fiber dengan seorang rakannya sebelum bot mereka terbalik menyebabkannya dibawa arus deras manakala rakannya sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Pengarah filem Firdaus Hanif, yang dikenali sebagai Pitt Haniff, hilang selepas bot digunakan terbalik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pengarah filem dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang dinaiki bersama rakannya untuk memancing terbalik di Sungai Jelai, Kuala Lipis semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor, berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa, Firdaus Hanif, 43, masih diteruskan selepas polis menerima maklumat kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Laporan Bernama menyebut, operasi dijalankan dalam radius 3km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang iaitu berhampiran Jambatan Gemunchur di Mela.

“Mangsa dikatakan menaiki bot fiber dengan seorang rakannya sebelum bot mereka terbalik menyebabkannya dibawa arus deras. Rakannya itu sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Bot dinaiki Pitt Haniff dan rakannya. (Gambar Jabatan Bomba Pahang)

“Operasi mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan dan polis dengan kekuatan seorang pegawai bersama tujuh anggota serta dua bot terbabit dalam operasi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah menggerakan lima anggota dengan sebuah bot bagi operasi itu.

Difahamkan Firdaus, yang juga dikenali sebagai Pitt Hanif, adalah anak kepada pelakon Fauziah Nawi.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, “saya terima sahaja qada dan qadar Tuhan. Moga segala urusan untuk mencarinya dipermudahkan.”

Dipetik BH Online, kata Fauziah, beliau terkejut dengan berita diterimanya sekitar jam 2 petang dan hanya menantunya yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat perkhabaran buruk itu.

“Saya tak dapat pergi bersama kerana terpaksa menunggu di rumah. Selain itu, keadaan kesihatan saya juga kurang mengizinkan.

“Harapan saya semoga semua pihak dapat mendoakan yang baik-baik buat kami sekeluarga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.