
Wang itu didakwa diberikan kepada LDP sebagai dana untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2013.
Tetapi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas presiden LDP, Liew Vui Keong dan penggantinya, Teo Chee Kang menuding jari ke arah satu sama lain mengenai wang itu.
Liew dan Teo menafikan pernah menyentuh sebarang wang yang diberikan kepada LDP antara 2012 hingga 2014. Mereka mahu polis menyiasat serta mendedahkan siapa yang mengambil wang itu.
Teo membuat laporan di Lahad Datu pada Jumaat lalu bersama bekas setiausaha agung, Fong Keng Sin untuk meminta polis menyiasat sama ada berlaku sebarang salah laku dalam pengeluaran wang itu.
“Kami hanya mahu membersihkan nama kami,” kata Teo.
Pada 18 Okt lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memulangkan RM500,000 yang dirampas daripada LDP pada Jun lalu.
Teo berkata, SPRM melalui permohonannya menyatakan RM3.5 juta disalurkan kepada LDP melalui Liew dan wang itu dikeluarkan ketika beliau masih menjadi presiden parti.
LDP berkata, dana itu diberikan kepada parti itu oleh bekas perdana menteri, Najib Razak antara 2012 hingga 2013 dan pengeluaran RM2 juta serta RM1.01 juta dibuat dalam tempoh itu.
Liew yang menafikan dirinya menunaikan wang itu memberitahu FMT: “Saya biar polis siasat perkara ini.”
Beliau ialah presiden LDP dari 2006 hingga 2014, sebelum disingkirkan parti itu selepas PRU 2013.
Pada 21 Okt lalu, Liew dilaporkan berkata, laporan polis akan dibuat selepas Presiden LDP sekarang, Chin Su Phin dan Fong yang juga bendaharinya memfailkan dua afidavit mendakwa Liew menandatangani dua cek pada 2 serta 3 Mei 2013.
Cek pertama untuk RM910,000 dan yang kedua bagi RM100,000.
“Ini adalah fitnah dan mereka memberi kenyataan palsu dalam afidavit itu,” kata Liew sambil menambah beliau mempunyai salinan cek itu dan ia tiada tandatangannya.
Katanya, hanya satu tandatangan mandatori diperlukan, tetapi dua cek itu mempunyai tandatangan Fong, Chin dan Teo.
Satu laporan polis turut dibuat setiausaha sulit Liew, Mohd Hanafiah Sahih Montoi yang berkata, menteri itu hanya mengarahkan sekeping cek berjumlah RM2 juta dikeluarkan untuk diagihkan kepada calon pilihan raya, Teo (Tanjung Kapor), Pang Nyuk Ming (Merotai), Chin (Likas), Charlie Pang (Karamunting), pengarah pilihan raya parti dan dirinya bagi kerusi Parlimen Sandakan.
Teo menggantikan Liew yang disingkirkan selepas PRU 2013, tetapi LDP tewas di semua kerusi yang ditandinginya pada PRU tahun lalu.
Teo kemudiannya meletak jawatan sebagai presiden dan digantikan Chin.