Agenda reformasi tidak seperti diharap tapi bukan bencana, kata Kit Siang

Agenda reformasi tidak seperti diharap tapi bukan bencana, kata Kit Siang

Masalah ekonomi dan kewangan menghalang kerajaan PH menunaikan semua janji dan ikrar yang dibuatnya dengan segera dan sempurna.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, agenda reformasi kerajaan bukanlah ‘bencana yang tidak terkawal’.
PETALING JAYA:
Penasihat DAP Lim Kit Siang menolak dakwaan seorang ahli akademik bahawa agenda pembaharuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) merupakan “bencana yang tidak terkawal”.

“Walaupun kerajaan PH yang berusia 17 bulan ini tidak memenuhi kesemua harapan, namun ia bukanlah satu ‘bencana yang tidak terkawal’,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Deepavali hari ini.

Lim berkata, kerajaan PH tidak menjangkakan “bencana kewangan dan ekonomi yang sedemikian besar dan mendasar” yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini dengan merujuk kepada skandal 1MDB dan kontroversi yang melanda institusi seperti Felda dan Tabung Haji.

Katanya, keadaan itu menghalang kerajaan PH daripada menunaikan semua janji dan ikrar yang dibuatnya dengan segera dan sempurna.

Lim, yang merupakan ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, berikutan keadaan itu Majlis Presiden PH memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas di bawah Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong untuk menyemak semula manifesto pilihan rayanya.

“Pakatan Harapan harus tegas dalam azam dan komitmennya untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan dalam Buku Harapan,” katanya.

Pada satu forum Jumaat lepas, Lim Teck Ghee menyifatkan agenda pembaharuan Putrajaya sebagai “bencana yang tidak terkawal”.

Teck Ghee menyenaraikan rasa tidak puas hati umum terhadap kerajaan PH, termasuk yang melibatkan isu pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kontroversi Dr Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Berikutan itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan kredibiliti ahli akademik berkenaan.

Dalam respons terhadap kenyataan Teck Ghee, Anwar berkata, “ahli akademik ini membisu ketika rasuah berpuluh-puluh bilion, tetapi sekarang cakap negara tidak terkawal”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.