Khalid: Akta Pengambilan Tanah tidak akan diguna ‘sembarangan’ di Kg Baru

Khalid: Akta Pengambilan Tanah tidak akan diguna ‘sembarangan’ di Kg Baru

Khalid Samad berkata hanya ada satu keadaan yang memungkinkan langkah itu dibuat demi keadilan pemilik tanah lain.

Khalid Samad berkata kerajaan tidak akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dalam urusan pembangunan Kampung Baru.
PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memberi jaminan Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan sewenang-wenangnya dalam isu pembangunan semula Kampung Baru di ibu negara, yang kini berhadapan dengan isu kadar harga.

Kata beliau, Akta Pengambilan Tanah 1960 hanya akan dipertimbangkan mengikut keadaan tertentu.

BH Online memetik Khalid berkata, hanya ada satu keadaan yang memungkinkan langkah itu dibuat demi keadilan pemilik tanah lain, sekiranya wujud situasi pemilik enggan bekerjasama menjual lot mereka sedangkan penama lain sudah menyatakan persetujuan.

“Insya-Allah kita tak nak ambillah (secara paksa). Hanya satu keadaan saja yang memungkinkan (diambil secara paksa) iaitu katakanlah dalam satu-satu lot itu ada 10 penama, dan tujuh daripadanya sudah bersetuju tetapi tiga lagi tidak bersetuju.

“Dalam keadaan itu, ketujuh-tujuh penama sudah memujuk dan mengatakan ia adalah hak mereka untuk mendapat duit itu, tetapi terhalang disebabkan tiga penama tidak bersetuju.

“Lalu, kita akan cuba pujuk juga lagi tetapi akhirnya kalau masih tidak dapat pujuk, kita kena tengoklah daripada sudut keadilan orang yang dah ada hak dia (penama yang sudah bersetuju),” kata beliau.

Khalid berkata, hanya dalam keadaan tertentu kerajaan aka “terpaksa pertimbangkan (pengambilan secara paksa mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960).”
“Tetapi seboleh-bolehnya, kita mahu supaya orang Kampung Baru bersatu hati bersama membangunkan kawasan itu,” kata beliau.

Dalam tulisan di BH hari ini, bekas peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Salleh Buang berkata hanya dua kemungkinan boleh berlaku sekiranya sekadar 60 hingga 70% pemilik lot tanah bersetuju menerima tawaran.

Pertama adalah rancangan pembangunan semula di kawasan itu akan terhenti dan tidak dapat diteruskan, kedua ia akan diteruskan tetapi pengambilan tanah secara paksa mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 terpaksa dilakukan ke atas pemilik tanah yang enggan menerima tawaran baharu itu.

Khamis lalu, kerajaan membuat tawaran baru kepada penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula di kawasan berkenaan pada harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan tawaran baru itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham.

Khalid juga dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengarahkan Perbadanan Kampung Baru (PKB) untuk berjumpa kira-kira 830 pemilik lot dalam skala kecil bagi membolehkan penerangan diberikan dengan lebih terperinci.

“Semua hujah dalam media sosial yang mengatakan bahawa pemilik akan hilang hak (apabila menerima tawaran baharu) adalah tidak betul,” kata beliau lagi.

Dalam laporan FMT awal hari ini, rata-rata pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang ditemui bersetuju dengan tawaran baru kerajaan, iaitu sebanyak RM1,000 sekaki persegi untuk tanah milik mereka, tetapi mempertikaikan cara pembayarannya.

Sementara itu, Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS) pula mahu kerajaan menjelaskan bilakah pemilih tawaran pulangan tunai akan memperoleh baki 90% itu.

“Dalam sesi ‘townhall’ sebelum ini, Khalid kata akan bayar 10% dulu, tetapi baki 90% tidak dinyatakan,” kata Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi kepada FMT.

Beliau menggesa kerajaan sekali lagi mendekati penduduk kerana masih ramai pemilik tanah dan pewaris tidak faham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.