
Polis bertindak merampas pembesar suara 30 minit selepas kumpulan yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia itu mula menunjuk perasaan di depan pintu masuk utama UM selepas solat Jumaat.
Polis juga menghalang cubaan kumpulan berkenaan berarak masuk ke universiti itu.
Selepas perbincangan dengan polis, kumpulan berkenaan akur dengan arahan pihak berkuasa dan meminta penunjuk perasaan bersurai.
Keadaan jadi tegang apabila seorang pelajar, Maizatul Afirah Ayub, ditahan polis. Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswa Gamis itu dibawa ke Balai Polis Pantai.
“Pada mulanya pihak polis memaklumkan penahanan itu dibuat atas alasan Maizatul tidak mempunyai kad pengenalan,” kata Presiden Gamis Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin.
“Kemudian selepas ditunjukkan kad pengenalan pihak polis tetap mahu membawa Maizatul ke balai, sambil memaklumkan himpunan tiada permit,” tambahnya.
Dalam tunjuk perasaan singkat itu, Maizatul dalam ucapannya kepada penunjuk perasaan berkata dia tidak sanggup mahasiswa dipandang “bodoh” kerana tindakan seorang graduan, Wong Yan Ke menunjuk perasaan semasa majlis konvokesyen bagi mengkritik Rahim.
“Nak ke mahasiswa dipandang bodoh sebegini? Dipandang serong tidak beradab di masa depan,” katanya.
Ikhwan dalam ucapannya pula mengaitkan Persatuan Belia Baru UM (Umany), yang mana Wong bekas pengerusinya, dengan parti pemerintah, DAP.
“Siapa yang rasis hari ini? Naib canselor UM atau Wong? Kita cabar beliau untuk berdepan dengan gabungan mahasiswa.
“Kita tak ada masalah universiti nak berbaik tapi kita marah dengan tindakan biadap. Saya rasa ia tindakan terancang. Kita boleh agak Umany di belakangnya siapa? DAP,” katanya.
Ditemui pemberita kemudiannya, Ikhwan ditanya kenapa pihaknya mengaitkan isu Wong dengan DAP.
“Kami rasa ia ada kaitan dengan DAP,” jawabnya.
Undangan media ke tunjuk perasaan hari ini menyatakan ia sepatutnya diadakan di Dewan Tunku Canselor UM, dan akan dihadiri pemimpin PAS, seperti Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki dan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.
Polis meminta Ikhwan dan seorang lagi penganjur, Saifullah Baiduri ke Balai Polis Pantai untuk memberi keterangan.
Rahim dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman di Kongres Maruah Melayu anjuran UM dan tiga universiti lain pada 6 Okt.
Kongres itu menjadi perhatian selepas Ketua Penganjur Zainal Kling berkata Malaysia adalah negara orang Melayu sebagaimana China untuk orang Cina dan India negara orang India.
Wong menunjuk perasaan terhadap Rahim, mengatakan beliau sudah memalukan universiti itu apabila ia menganjurkan Kongres Maruah Melayu.