Jika baik untuk negara mengapa tidak, Jokowi pertahan lantik musuhnya menteri

Jika baik untuk negara mengapa tidak, Jokowi pertahan lantik musuhnya menteri

Presiden Jokowi berkata pelantikan Prabowo dibuat atas nama demokrasi Indonesia iaitu "kerjasama bersama".

Presiden Joko “Jokowi” Widodo bersalam dengan Prabowo Subianto, bekas pesaing jawatan presiden, yang dilantik sebagai menteri pertahanan. (Gambar Jakarta Post)
JAKARTA:
Presiden Joko “Jokowi” Widodo mempertahankan keputusannya melantik musuh politiknya dari Parti Gerindra untuk mengisi Kabinet baru Indonesia.

Jokowi berkata langkah itu dilakukan atas nama demokrasi Indonesia iaitu “kerjasama bersama”, lapor The Jakarta Post.

Kabinet penggal kedua Jokowi merangkumi 38 menteri termasuk dua kerusi diberikan kepada wakil Gerindra.

Pengerusinya, Prabowo Subianto dilantik sebagai menteri pertahanan manakala eksekutif parti, Edhy Prabowo dinamakan sebagai menteri hal ehwal maritim dan perikanan.

Langkah presiden melantik Prabowo untuk memimpin Kementerian Pertahanan telah mengejutkan banyak pihak, mengambil kira kedudukan bekas jeneral tentera sebagai pesaing kuat Jokowi semasa pemilihan 2014 dan 2019 dan peranannya sebagai pengkritik pemerintah selama lima tahun yang terakhir.

Jokowi memberitahu wartawan, beliau memutuskan untuk memasukkan Gerindra, parti Prabowo dalam Kabinetnya kerana konsep pembangkang tidak wujud dalam demokrasi Indonesia, yang menurutnya merangkumi “semangat kerjasama bersama”.

“Sekiranya ia baik untuk negara, mengapa tidak?” kata Jokowi semalam, sambil menambah, beliau memilih Prabowo sebagai menteri pertahanan kerana “beliau mempunyai pengalaman di lapangan.”

Pelantikan Prabowo menerajui Kementerian Pertahanan ─ jawatan utama yang bertanggungjawab untuk membentuk strategi pertahanan kebangsaan berhadapan dengan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan pakar yang merujuk kepada kerjaya ketenteraan Prabowo yang dipersoalkan dan telah mempertikaikan kelayakan beliau memimpin sebuah kementerian yang seharusnya menjadi peneraju pembaharuan ketenteraan.

Sebagai komander pasukan khas Angkatan Tentera, Prabowo didakwa terlibat dalam kes kehilangan 13 aktivis prodemokrasi antara tahun 1997 dan 1998.

Dia juga dituduh terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia lain, termasuk semasa serangan balas tentera Timor Leste, operasi pemberontakan pada 1970-an. Prabowo telah berulang kali menafikan semua tuduhan tersebut.

Aktivis hak asasi manusia, termasuk mereka dari Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (Kontras), serta mangsa dan keluarga korban pelanggaran hak asasi lalu, menuntut Jokowi membatalkan pelantikan Prabowo sebagai menteri atas alasan rekod hak asasi manusianya telah tercemar.

Menteri Penyelaras Politik, Perundangan dan Keselamatan, Mahfud MD, yang skopnya merangkumi Kementerian Pertahanan, enggan memberi komen ketika ditanya mengenai tuntutan para aktivis dan korban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.