Ejen Ali The Movie: Tayangan serentak di 3 negara, sasar kutipan RM20 juta

Ejen Ali The Movie: Tayangan serentak di 3 negara, sasar kutipan RM20 juta

Tayangan serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 28 November ini.

Lagu ciptaan Altimet (kanan) dan Malik Abdullah (kiri) berjudul “Kita Jaga Kita juga” digunakan dalam filem Ejen Ali The Movie.

Filem Ejen Ali The Movie akan ditayangkan serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 28 November ini.

Pengumuman ini dibuat selepas kejayaan yang dicapai Ejen Ali sebelum ini yang mendorong Wau Animation dan Primeworks untuk membawa filem berkenaan ke tiga negara serentak.

“Ejen Ali menjadi salah satu jenama animasi popular Asia. Karakter ini meraih lebih dua juta tontonan di TV3. Semestinya kami menyimpan harapan tinggi untuk menayangkan filem Ejen Ali ini ke Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Tidak tertakluk kepada satu peringkat umur, filem animasi ini diharap dapat menarik perhatian semua golongan ke pawagam.

“Sokongan dan semangat yang diberi mendorong kami mencapai penanda aras yang tinggi bagi filem ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin pada sidang media selepas pelancaran Ejen Ali The Movie.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar (kiri).

Filem Ejen Ali membabitkan kos RM6.5 juta dan menyasarkan kutipan tiket sebanyak RM20 juta.

Usamah Zaid yang juga pencipta Ejen Ali berkata, pihaknya mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan filem berkenaan.

“Kami berharap usaha dan keringat yang dicurahkan dapat menjangkau harapan peminat tegar animasi Ejen Ali,” katanya.

Filem animasi berdurasi 97 minit itu menjadikan single “Bukalah Matamu” nyanyian Aisyah Aziz dan Bunga yang dilancarkan pada 20 September lalu, sebagai runut bunyi.

Lagu ciptaan Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah berjudul “Kita Jaga Kita juga” digunakan dalam filem berkenaan.

Pada majlis itu, Primeworks Studios dan Wau Animation mengumumkan kerjasama dengan penaja utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta penaja bersama, Mydin dan Pediasure.

Ejen Ali The Movie berkisar kanak-kanak berusia 12 tahun dikenali sebagai Ali.

Dia dipilih menjadi penyiasat sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Konflik timbul apabila Ali mendapat tahu bukan dia sahaja yang mengawal gajet istimewa dikenali sebagai Infinity Retinal Intelligence System atau IRIS.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.