
KOTA KINABALU: Tujuh orang termasuk dua kanak-kanak dari Filipina dikhuatiri terbunuh apabila bot mereka terbalik ketika cuba memasuki Sabah secara haram melalui pantai timur Lahad Datu, semalam.
Kejadian berlaku di perairan Merabung, Sabah pada jam 3 petang.
Komander Polis Marin 4 Wilayah Sabah Mohamed Pajeri Ali berkata kapten bot, seorang lelaki berusia 29 tahun diselamatkan oleh nelayan semalam.
“Nelayan menyerahkan kapten itu kepada kami. Selepas siasatan, kami mendapati mereka cuba memasuki Sabah dari Sibutu, pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina,” katanya kepada FMT.
Pajeri berkata hanya satu mayat ditemui setakat ini.
“Mayat dihantar untuk bedah siasat,” katanya.