Kekalkan catur sebagai sukan di sekolah, kata persekutuan

Kekalkan catur sebagai sukan di sekolah, kata persekutuan

Sukan catur boleh menyumbang kepada usaha kerajaan mendorong pelajar supaya cemerlang dalam sains dan matematik.

Presiden Persekutuan Catur Malaysia Akhramsyah Muammar Sanusi berkata, sukan catur berjaya mendidik rakyat Rusia supaya berfikir secara logik sejak awal lagi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persekutuan Catur Malaysia (MCF) menggesa Menteri Penddikan Maszlee Malik mengekalkan status catur sebagai satu sukan di sekolah di bawah pengurusan majlis sukan kebangsaan, negeri dan daerah.

Pengerusi MCF Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, sukan berkenaan boleh menyumbang kepada usaha kerajaan mendorong pelajar supaya cemerlang dalam sains dan matematik.

Beliau merujuk kenyataan Maszlee pada Ogos yang berkata, kementerian akan mengkaji penggunaan alat permainan yang mampu mengasah minda kanak-kanak di peringkat awal pendidikan bagi melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.

“Walaupun kenyataan itu berkait dengan pendidikan prasekolah, kami ingin menarik perhatian kepada keberhasilan sukan catur yang diiktiraf di dunia sebagai ‘pengasah minda’ kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhramsyah merujuk kepada Rusia sebagai contoh dengan berkata, sukan tersebut mendidik rakyat negara itu berfikir secara logik sejak awal lagi, selain menjadikan catur pelajaran wajib bagi pelajar tahun satu sejak Sept tahun ini dengan masa pengajaran sebanyak 33 jam setahun.

Beliau berkata, bagi menggalakkan sukan catur di sekolah, MCF bersedia mengiktiraf johan catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) pada semua peringkat umur sebagai wakil rasmi negara ke kejohanan antarabangsa bermula tahun 2020.

Katanya, MCF juga bersedia melatih guru yang terlibat dalam sukan berkenaan bagi mendapatkan kelayakan sah sebagai pengendali kejohanan atau jurulatih.

Selain itu MCF juga bersedia mendedahkan kanak-kanak di kawasan luar bandar kepada sukan tersebut, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.