KDN: Putrajaya akan terus desak Filipina buka konsulat di Sabah

KDN: Putrajaya akan terus desak Filipina buka konsulat di Sabah

Antara 1 Ogos hingga 22 Okt 2019, seramai 66,364 pendatang asing tanpa izin sudah berdaftar dengan program 'Back For Good'.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Aziz Jamman berkata, pembukaan konsulat Filipna di Sabah akan memudahkan proses penghantaran pulang rakyat negara itu.
KUALA LUMPUR:
Putrajaya akan terus mendesak kerajaan Filipina supaya membuka konsulatnya di Sabah bagi memudahkan urusan penghantaran pulang rakyat negara itu, kata Mohd Azis Jamman.

Timbalan menteri dalam negeri itu berkata, usaha untuk memujuk kerajaan Filipina supaya membuka konsulat di Sabah tidak pernah berhenti, bahkan turut dilakukan pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Sebenarnya untuk makluman, sejak dari kerajaan terdahulu kita sudah memujuk kerajaan Filipina supaya membuka konsulat mereka di Sabah, termasuklah kerajaan pada hari ini.

“Sudah tentu kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan sentiasa mendesak kerajaan Filipina untuk membuka konsulat di Sabah, tetapi ia tertakluk kepada negara itu kerana keputusan mereka di luar kawalan kita,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azis berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Jeffrey Kitingan (Star-Keningau) yang bertanya apakah usaha yang dilakukan kerajaan PH untuk memujuk kerajaan Filipina membuka konsulatnya di Sabah.

Mohd Azis turut memaklumkan antara 1 Ogos hingga 22 Okt 2019, seramai 66,364 pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah berdaftar dengan program “Back For Good”, iaitu program yang memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke negara masing-masing secara sukarela.

“Daripada jumlah tersebut seramai 46,976 sudah pulang ke negara asal, manakala 19,388 sedang menunggu giliran dan akan pulang dalam tempoh 7 hari,” katanya.

Katanya lagi, program yang dilaksanakan bermula 1 Ogos lalu sehingga 31 Dis 2019 di Semenanjung dan melibatkan bayaran kompaun sebanyak RM700 bagi setiap PATI yang menyertai program ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.